Rakyat Malaysia Tidak Boleh Berenggang Dengan Telefon Pintar

Laporan kaji selidik State of Digital Lifestyles yang dikeluarkan oleh Limelight Networks menunjukkan rakyat Malaysia terlampau bergantung kepada peranti pintar.

Menurut laporan tersebut, hampir 69% rakyat Malaysia tidak mampu bertahan walaupun sehari tanpa telefon bimbit.

Limelight Networks menyatakan komputer riba dan komputer meja adalah peranti kedua yang menjadi kegilaan rakyat dengan 43.4% tidak boleh hidup tanpanya.

Selain itu, diantara 10 negara yang gemarkan e-buku, rakyat Malaysia diletakkan pada tangga yang paling atas dengan 74.7% memilih untuk membaca secara maya manakala 25.4% berminat membaca buku fizikal.

Kandungan dalam talian yang paling digemari rakyat tempatan adalah muzik, filem, rancangan televisyen dan aplikasi.

Walaupun kadar ketagihan kepada peranti pintar kita tinggi, rakyat tempatan terarah kepada kandungan yang percuma berbandingan kandungan yang memerlukan langganan bulanan.

Kaji selidik tersebut dibuat berdasarkan pengguna di 10 buah negara iaitu Malaysia, Singapura, Amerika Syarikat, United Kingdom, Itali, Jepun, India, Korea Selatan, Jerman dan Perancis.

Ia melibatkan sebanyak 5,000 orang responden, terdiri daripada pengguna berumur 18 tahun keatas yang telah memuat turun perisian atau strim video mahupun muzik dalam talian pada bulan lepas.

Sumber: Limelight Networks via Free Malaysia Today