Rakyat Malaysia Yang Pernah Positif COVID-19 Dijemput Sertai Penyelidikan Antibodi COVID-19

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah telah membuat satu hantaran penting di laman Facebook beliau yang ditujukan  secara khusus kepada rakyat Malaysia yang pernah dijangkiti virus COVID-19.

Dalam hantaran itu beliau memaklumkan bahawa sekumpulan penyelidik dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Institut Kesihatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjemput rakyat Malaysia yang pernah dijangkiti virus COVID-19 untuk menyertai penyelidikan perubatan bertajuk: Kajian Membujur (Longitudinal Study) tindakbalas antibodi neutralisasi di kalangan pesakit COVID-19 di Malaysia.

Menurut beliau, kajian tersebut adalah penting bagi mengetahui paras antibodi neutralisasi (imuniti) di dalam darah yang boleh menghalang virus COVID-19 dari menjangkiti pesakit yang pernah dijangkiti sebelum ini.

Penyelidikan itu juga telah mendapat kelulusan Jawatankuasa Etika Penyelidikan Perubatan (MREC) KKM (NMRR-20-1676-55108).

Projek penyelidikan itu akan bermula dari Ogos 2020 hingga Julai 2022 akan datang.

Jadi bagi mereka yang sebelum ini berminat untuk menyertai kajian tersebut bolehlah menghubungi Dr Rafiza Shaharudin ([email protected]), telefon: 03-33627753. Atau juga boleh menghubungi Dr Masita Arip ([email protected] ) atau menerusi telefon: 03-33627735.



Semoga dengan penglibatan anda nanti akan dapat membantu penyelidik dalam menghasil dan menyediakan antibodi COVID-19 yang berkesan untuk para pesakit pada masa hadapan.