Rakyat Itali Lebih Banyak Bermain Fortnite Dan Call Of Duty Ketika Perintah Berkurung Covid-19

Seluruh Itali kini diisytiharkan perintah berkurung berikutan usaha kerajaan itu untuk menghentikan penularan Covid-19 yang telah dikategorikan sebagai pandemik secara global. Berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan oleh WHO pada jam 8 pagi ini, Itali telah mencatatkan 1,809 kematian dengan 21,157 kes positif Covid-19.

Disebabkan perintah berkurung yang sedang dijalankan, sekolah telah diarah tutup. Rentetan itu, mereka kini lebih banyak meluangkan masa untuk bermain permainan video di rumah.



Oleh itu, ia memberi beberapa kesan kepada penyedia internet di Itali dengan sekumpulan kanak-kanak dan dewasa bermain permainan video seperti Fortnite dan Call of Duty setiap hari, dimana ia menggunakan bandwidth yang lebih banyak.

Menurut laporan dari Bloomberg, terdapat peningkatan lebih daripada 70% lalu lintas Internet melalui rangkaian talian (landline) Telecom Italia, dengan sumbangan terbesar adalah dari permainan dalam talian seperti Fornite.

Peningkatan lalu lintas internet ini turut menyebabkan beberapa gangguan sementara di Itali. Bagaimanapun, masalah tersebut berjaya dikawal.

Terdahulu, populariti Fornite berjaya menjadikannya permainan dengan pendapatan tertinggi dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2018 dan 2019.

Sumber: Forbes via Bloomberg