Rakan Dagangan Google Mungkin Telah Dedahkan Nama Rasmi Android P Secara Tidak Sengaja

Google dijangka akan memperkenalkan sistem operasi Android terbaru mereka, Android P dalam masa terdekat. Ini kerana mereka telah pun mengeluarkan versi percubaan beta terakhir bagi sistem berkenaan awal bulan ini. Google mendakwa versi beta berkenaan adalah sangat hampir dengan kesempurnaan sebelum versi rasmi dilancarkan.

Bagaimanapun, mereka masih lagi belum membuat sebarang pengumuman berkaitan nama rasmi Android P ini. Ia menyebabkan pengguna Android tertanya-tanya dan membuat pelbagai tekaan mereka sendiri berkenaan perkara tersebut.

Kredit : AndroidGuys


Pelbagai tekaan melibatkan pencuci mulut yang bermula dengan huruf 'P' telah dibuat dan antara yang paling popular ialah Popsicle, Peppermint dan Pancake. Namun segala persoalan yang bermain di fikiran mereka ini mungkin sudah terjawab.

Ini kerana, salah satu rakan dagangan Google iaitu Huawei mungkin telah mendedahkan nama bagi Android P atau Android 9 ini dalam satu maklum balas yang dibuat oleh pekerja kepada pelanggan mereka baru-baru ini. Nama penuh bagi Android P adalah Android Pistachio.


Kredit : tabletowo.com


Untuk pengetahuan, sebelum ini terdapat laporan yang menyatakan Google menggelar sistem ini sebagai Android Pistachio Ice Cream dalam tugasan dalaman mereka. Maka laporan itu mengukuhkan lagi dakwaan bahawa Android kali ini akan hadir dengan nama Pistachio - tanpa Ice Cream.

Sama-sama kita nantikan pengesahan dari pihak Google sendiri berkenaan dakwaan ini. Kami ramalkan kita akan mendapat jawapan dari Google tidak lama lagi memandang Android P dijadualkan akan dilancarkan pada suku ke-tiga tahun ini iaitu antara bulan Julai-September.

Sumber