Qualcomm Dilaporkan Telah Menerima Lesen Untuk Menjual Cip Kepada Huawei

Huawei pada masa ini tidak lagi dapat mengeluarkan cip HiSilicon. Sebagai alternatif, gergasi teknologi dari China itu terpaksa mencari penyedia cip lain seperti MediaTek. Terbaru, laporan dari China mendakwa Qualcomm telah memperoleh lesen untuk membekalkan cip kepada Huawei.

Qualcomm Huawei

Berdasarkan laporan tersebut, Qualcomm akan dapat memenuhi permintaan Huawei hanya jika jenama Honor dilepaskan. Ini kerana, Qualcomm tidak mempunyai kapasiti yang cukup untuk menambah syarikat telefon pintar kedua terbesar itu dalam portfolionya.

Akan tetapi, dengan Honor yang dilaporkan akan dijual kepada Digital Chat pada harga 100 bilion yuan, landskap ini mungkin sedikit berubah.

Terdahulu, syarikat seperti Intel, AMD, Samsung Display, Sony dan lain-lain adalah antara yang telah menerima lesen untuk meneruskan urus niaga bersama Huawei.

Qualcomm sebelum ini turut mengesahkan mereka telah menghantar permohonan untuk mendapatkan lesen bagi membekalkan cip kepada Huawei. Bagaimanapun, sehingga kini tiada dokumen atau pengesahan rasmi dari Qualcomm berhubung perolehan lesen ini.

Sumber: Seekdevice, GSM Arena