Qantas Pecah Rekod, Penerbangan 19 Jam Tanpa Henti

Sebuah syarikat penerbangan Australia, Qantas baru sahaja memecahkan rekod penerbangan tanpa henti pesawat komersial selama 19 jam. Penerbangan itu adalah sebahagian dari kajian bagaimana penerbangan tanpa henti memberi kesan kepada juruterbang, krew terlibat dan juga penumpang.

Kapal terbang jenis Boeing 787-9 itu telah membawa 49 orang  sejauh 16,200km dari New York ke Sydney.

Untuk memastikan penggunaan minyak yang mencukupi tanpa mengisi semula, pesawat tersebut berlepas dengan minyak penuh maksimum, muatan bagasi yang terhad, dan juga tiada kargo.

Untuk mengelakkan masalah jetlag, penumpang telah diarahkan untuk berjaga sehinggalah waktu malam Sydney menjelma.

Penumpang dibekalkan dengan makanan tinggi karbohidrat dan lampu dimalapkan untuk melenakan tidur malam mereka.

Ujian ketika penerbangan termasuklah pemantauan gelombang otak juruterbang, kadar melatonin dan senaman penumpang, serta analisis impak perubahan tubuh badan terhadap pelbagai zon waktu yang dilintas.

flights

Sebelum ini, Singapore Airlines telah memegang rekod sebagai penerbangan tanpa henti terlama selama 18 jam 25 minit sejauh 15, 344km dari Singapore ke New York tahun lepas.