Pulau Pinang Akan Mulakan Projek Rintis Internet Berkelajuan Tinggi Menggunakan Kabel Tembaga

Sekitar Februari tahun ini, satu projek rintis internet berkelajuan tinggi yang menggunakan teknologi Terragraph kendalian YTL Communications telah dijalankan di Pulau Pinang. Ujian yang diadakan selama beberapa bulan itu dilaporkan telah tamat dan lanjutan daripada itu, sebanyak 50 lokasi kini menawarkan WiFi awam secara percuma.

Perkembangan terbaru mengenainya, YTL kini bakal memulakan satu lagi projek rintis yang akan menggabungkan teknologi Terragraph bersama teknologi Gigawire. Melalui teknologi Gigawire, ia akan membolehkan kabel tembaga sedia ada memberikan perkhidmatan jalur lebar setanding kabel fiber.

Menurut laporan daripada The Star, YTL menerusi CEO syarikat, Wing K. Lee menyatakan bahawa mereka telah berjaya menggabungkan teknologi tanpa wayar Terragraph dengan Gigawire dan bangunan pertama yang akan menguji sambungan internet pantas ini adalah Penang Chinesse Town Hall. Ia juga dinyatakan sudah diuji pada beberapa lokasi terpilih sekitar Kuala Lumpur.

Difahamkan lagi integrasi kedua-dua teknologi ini mampu memberikan kelajuan muat turun antara 200Mbps ke 300Mbps untuk bangunan yang terlibat tanpa memerlukan kabel tembaga sedia ada.

Ujian rintis ini sudahpun bermula hari ini dan dijadualkan tamat pada bulan September nanti. Ini merupakan satu berita menarik yang mana ia dilihat sebagai salah satu langkah penyelesaian untuk memberikan sambungan berkelajuan tinggi tanpa perlu mengubah infrastruktur sedia ada.


Sumber: The Star 1, 2 dan Malay Mail

Kredit foto utama: Sayuti Zainudin | Malay Mail