PUBG Mobile Bakal Beri Peluang Sama Rata Kepada Semua Peringkat Pemain

Pada awal bulan ini, berjuta-juta peminat e-sukan dan masyarakat di seluruh dunia telah menyaksikan kumpulan Bigetron RA dari Indonesia merangkul kejuaraan bagi kejohanan PMCO 2019 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Keseluruhan kejohanan ini telah pun memperolehi lebih daripada 530 juta jumlah tontonan semasa ia bersiaran secara langsung, dan pada masa yang sama juga, ia turut menerima 57 juta jam tontonan. Selama ia berlangsung, kejohanan ini telah menerima peningkatan hampir 15 kali lebih banyak daripada penonton dan jam tontonan berbanding tahun 2018.

PMCO 2019 adalah salah satu kejohanan e-sukan terbesar di dunia dengan penawaran hadiah keseluruhan berjumlah 2.5 juta USD. Kejohanan ini secara tidak langsung telah menyediakan satu platform di mana mereka membuka satu jalan kepada pemain amatur-semi-pro untuk menjadi seorang pemain profesional kelak.

Sebelum ini, PUBG Mobile pernah dicalonkan bagi kategori Esports Game of the Year dalam Golden Joystick Awards 2019, bila mana permainan tersebut terbukti menerima sambutan yang menggalakkan dengan jumlah jam tontonan tertinggi di YouTube apabila menduduki tempat pertama semasa kejohanan akhir PMCO itu berlangsung.

Dalam menyediakan satu platform yang sesuai dan peluang yang sama rata untuk semua pemain dari pelbagai peringkat, rantau dan negara yang berbeza, PUBG Mobile telah bersetuju untuk permudahkan masalah ini dengan menyediakan satu tahap amatur-semipro-pro dan peringkat negara-serantau-dunia bermula tahun 2020.



Selain itu, kejohanan Liga Dunia untuk pemain profesional akan bermula pada bulan Mei dan Oktober 2020. Kejohanan ini akan bermula dengan Liga Pro di negara dan wilayah terpilih termasuk Indonesia, Malaysia, Thailand, dan Vietnam, serta Asia Selatan dan Amerika.

Kejohanan e-sukan PUBG Mobile pada tahun 2020 akan menawarkan hadiah yang lebih menarik, di mana jumlah keseluruhannya meningkat sehingga 5 juta USD, melipatgandakan jumlah hadiah PMCO pada tahun 2019.