PSA: Utamakan Khutbah, Lupakan Sebentar Telefon Pintar

Telefon pintar vs Khutbah Jumaat.


Tidak dinafikan peri pentingnya telefon pintar dalam kehidupan seharian era kini. Malah adalah bodoh jika mengatakan yang telefon pintar tidak penting dan ia hanya melalaikan.

Sebaliknya, punca utama masalah ini adalah pengguna itu sendiri yang tidak sedar atau mengaku yang sebenarnya mereka ketagih melampau terhadap telefon pintar mereka.

Akibat daripada ketagihan itu, mereka lebih sanggup menatap dan melayan telefon pintar berbanding mereka mendengar khutbah Jumaat yang sedang disampaikan oleh khatib di mimbar masjid.

Walhal memberikan tumpuan dan mendengar khutbah yang disampaikan oleh khatib merupakan salah satu syarat kesempurnaan solat Jumaat yang akan didirikan.

Jadi, aktiviti yang selain daripada berdiam diri dan tidak memberikan tumpuan terhadap khutbah adalah amat ditegah sama sekali.

Adalah mustahil jika ada dikalangan kita tidak tahu bahawa Nabi SAW pernah bersabda,

“Jika kamu berkata-kata kepada sahabatmu pada hari Jumaat, walau dengan perkataan diam sekali pun, ketika khatib sedang berkhutbah, maka sesungguhnya kamu telah lagha (melakukan perkara yang sia-sia).” Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, dari Abu Hurairah r.a.


Ini kerana hadis tersebut sering diucap oleh imam ataupun bilal sebelum bacaan khutbah Jumaat dimulakan.

Malah perbuatan seperti membaca Al-Quran, berdoa atau berzikir ketika khutbah sedang dibacakan juga adalah tidak digalakkan sepertimana pendapat para ulama keseluruhannya.

Inikan pula menatap telefon pintar yang langsung menunjukkan betapa tiada adabnya kita terhadap khutbah yang sedang dibacakan.

Tiada malu, tiada adab


Apa yang lebih menghairankan adalah, mereka yang terbiasa dengan tabiat buruk ini langsung tiada rasa malu.

Mereka langsung tidak menghiraukan jemaah lain yang memerhati kelakuan mereka (menghulur salam pun tidak) ataupun menerima teguran dari jemaah lain supaya menumpukan khutbah yang sedang disampaikan.

Tidak hairanlah mutakhir ini, boleh dikatakan sebahagian besar masjid-masjid diseluruh negara telah mula mewujudkan skuad khas bagi menangani masalah ini.

Skuad ini akan bertindak menegur jemaah yang sedang leka melayan telefon pintar mereka supaya memberikan perhatian terhadap khutbah yang sedang berlangsung.

Tetapi malangnya bertahanlah 5 saat, selepas itu jemaah itu akan kembali semula melayan telefon pintar mereka. Situasi mutakhir ini amatlah menyedihkan sekali.

Daripada satu hadis lain, dari Ibnu Abbas, Nabi SAW pernah bersabda,

”Barang siapa yang berbicara pada ketika Imam sedang khutbah Jumaat, maka ia seperti keldai yang memikul lembaran-lembaran (tiada manfaat). Siapa yang diperintahkan untuk diam (lalu tidak diam), maka tidak ada Jumaat baginya (tidak sempurna),” (Hadis Riwayat Ahmad).


Sebilangan jemaah dilihat lebih berasa seronok melayan perkara yang tiada kena mengena dengan Solat Jumaat seperti berWhatsApp, bermain permainan strim seperti PUBG, menonton video YouTube, memuat naik status di Twitter, Facebook, Instagram, dan lain-lain berbanding mendengar isi khutbah.

Walhal perbuatan-perbuatan yang dibuat selain mendengar khutbah ketika khutbah sedang dibacakan adalah perkara yang sia-sia

Ini dikuatkan lagi dengan hadis daripada Abu Hurairah RA:

“Barangsiapa yang menyapu (bermain-main) batu kerikil (ketika Jumaat) maka hal itu sia-sia.” Riwayat Muslim (857)


Masalah ini mungkin nampak remeh ketika ini. Tetapi pada masa akan datang ia boleh menjadi masalah berat.

Ia berdasarkan pemerhatian terhadap tingkah laku anak-anak kecil kita yang turut sama datang ke masjid pada hari Jumaat yang dilihat lebih sibuk bermain telefon pintar berbanding menunaikan solat.

Jika tidak ditegah dari sekarang, bila lagi?

Hukum menulis isi khutbah ketika khutbah Jumaat berlangsung


Ada juga pengguna yang menggunakan alasan mereka menggunakan telefon pintar untuk menyalin (menaip) isi kandungan khutbah.

Berkenaan dengan isu ini, ia telah pun dijelaskan oleh pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Larangan berkata-kata di sini termasuklah juga menulis bagi mengelakkan situasi berhelah seperti orang menggunakan SMS, Whatsapp dan lain-lain ketika khatib sedang berkhutbah dengan alasan, “Kami tidak bercakap tetapi hanya menulis.”

Pejabat Mufti juga menambah, perbuatan menulis isi khutbah akan menimbulkan fitnah dengan menarik perhatian orang bersebelahan atau sekeliling untuk melihatnya lantaran asing perbuatan menulis ketika khutbah.

Justeru, mereka cenderung untuk menyatakan bahawa hukum menulis isi khutbah ketika khutbah Jumaat berlangsung adalah afdal ditinggalkan perbuatan tersebut.

Tinggalkan sebentar telefon pintar tu…


Teguran (pesanan khidmat masyarakat) ini ditujukan khusus pada umat Islam semua. Sebaiknya tinggalkanlah telefon pintar anda sebentar di rumah atau matikan sahaja telefon tersebut demi memberikan sepenuh perhatian kita kepada khutbah dan solat Jumaat yang hendak didirikan.

Sekaligus tidak menggangu jemaah yang lain. Tiada rugi sedikitpun ia kepada kita. Jangan jadikan teknologi sebagai penghalang untuk kita beribadah dengan sempurna dan jangan pula jadikan teknologi sebagai punca kita beribadah sia-sia.

Jangan sampai hal dunia lebih di dahulukan, khutbah Jumaat seminggu sekali sahaja kau abaikan… Sekian.

Berkaitan