Proton X50 Kini Terima ATLAS OS, Ekosistem Baharu Ganti GKUI

Syarikat perisian tempatan, ACO Tech, mengumumkan bahawa sistem pengendaliannya iaitu ATLAS OS (ACO Tech Local Automotive Services) kini tersedia untuk Proton X50 melalui kemas kini over-the-air (OTA).

Ini akan menggantikan Ekosistem Pintar Geely (GKUI) sedia ada yang kini dilengkapi pada kenderaan itu, selain menawarkan pelbagai penambahbaikan untuk navigasi dan pengecaman suara.

Pelancaran untuk sistem baharu ini disediakan secara percuma kepada semua pemilik X50.

https://twitter.com/acotechmy/status/1548895459393081345?s=20&t=-eLNQVtG9XsWBWTFH2SjaA

Pada awalnya, ACO Tech mula-mula mengumumkan ATLAS OS pada September tahun lalu, dan kemudiannya dilancarkan secara rasmi pada awal Jun 2022.

Versi semasa sistem dijalankan pada platform Android 10, walaupun ia tidak menampilkan perkhidmatan atau aplikasi yang ditawarkan melalui Google Play Store.

Sebaliknya, ia dilengkapi dengan navigasi, hiburan dan kawalan suara, serta menampilkan gedungnya sendiri (A-Store) untuk mendapatkan aplikasi yang sesuai.

Dalam pada itu juga, syarikat itu baru-baru ini menambah sokongan Spotify kepada OSnya, melalui kolaborasi yang diumumkan awal bulan Julai.

Di samping itu, perjanjian itu juga akan melihat aplikasi sudah terbina pada semua kereta Proton yang dilengkapi ATLAS.

Selain Spotify, perkhidmatan hiburan pihak ketiga lain yang disokong pada platform termasuk Joox dan Syok Astro.



Antara penambahbaikan yang ditawarkan oleh ATLAS OS ke atas sistem GKUI termasuk antara muka serba baharu dengan keupayaan berbilang paparan, sistem navigasi yang lebih baik, widget yang boleh disesuaikan, keupayaan mirroring telefon melalui aplikasi ATLAS Auto untuk telefon pintar, dan kawalan suara yang diolah semula.

Menariknya, menurut ACO Tech, pengecaman suara telah direka mengikut loghat dan gaya tempatan, supaya mudah untuk menyebut perkataan Inggeris tertentu pada nada dan kelajuan yang berbeza-beza.

Walaupun baru sahaja dilancarkan untuk X50, ATLAS OS akan tersedia pada Proton Iriz dan Proton Persona tahun ini.

Pelancaran untuk model X70 juga dijadualkan dalam tahun ini, namun masih belum ada tarikh rasmi.

ACO Tech turut menyatakan kemas kini OS baharu ini mungkin mengambil masa sehingga 14 hari untuk diterima oleh semua kenderaan yang terlibat.

Sumber: ACO Tech