Program Kembara Digital Malaysia Akan Diadakan Di Kuala Pilah Dari 23 Hingga 24 November Ini

Pelbagai aktiviti menarik sempena bermulanya cuti sekolah Sabtu ini. 


Selepas Program Kembara Digital Malaysia (KDM) pertama berjaya diadakan pada Julai lalu di Ipoh, Perak, KDM kedua pula akan berlangsung selama dua hari bermula Sabtu ini di Stadium Mini Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Acara 2 hari ini bermula dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam bagi hari Sabtu. Manakala hari Ahad nya bermula dari jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang.

Program ini akan mengetengahkan kepentingan internet jalur lebar dan penggunaan teknologi digital kepada pembangunan ekonomi negara kepada masyarakat setempat.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Eddin Syazlee Shith berkata program KDM itu juga akan memperkasakan masyarakat untuk menjadi pengguna yang bijak dan berhemah dalam penggunaan teknologi komunikasi.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Kuala Pilah berkata program KDM ini melibatkan kerjasama antara kerajaan dan agensi peringkat Persekutuan dan Negeri, badan-badan bukan kerajaan serta agensi swasta termasuk syarikat telekomunikasi.



“Program ini dilaksanakan dalam bentuk karnival selama dua hari menggunakan pendekatan menyatukan beberapa program utama di bawah KKMM seperti e-Usahawan, YouCanDuit, Caring Bridge, Digital Lifestyle Malaysia, Malaysia Inklusif Negara Digital (MINDA), Ekspresi Digital dan sebagainya.

“KDM juga membuka ruang kepada rakyat untuk menyertai program pembangunan kapasiti yang dilaksanakan oleh kementerian dengan menyasarkan pengunjung yang terdiri daripada pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi, golongan belia dan orang awam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, program utama di bawah KKMM, pengisian program yang diadakan sepanjang berlangsungnya program ini termasuk aktiviti pameran berkaitan aplikasi teknologi digital, kerjaya digital, ekonomi digital, mycribbooking, demonstrasi pertanian dan penternakan digital, demonstrasi dan pandu uji dron, ceramah penggunaan aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seperti e-Pembelajaran, e-Dagang dan lain-lain.

Eddin Syazlee berkata program ini memfokuskan kepada tujuh bidang utama antaranya Digital Memudahkan Kehidupan iaitu menggalakkan penggunaan akses digital melalui promosi dan manfaat yang diperoleh; Digital Memperluas Perniagaan iaitu menawarkan kemudahan infrastruktur dan teknologi melalui akses digital untuk meningkatkan pendapatan secara lebih meluas.

“Digital Meningkatkan Pendapatan iaitu membuka peluang pekerjaan atau perniagaan baharu kepada belia melalui perniagaan dalam talian yang secara tidak langsung dapat menggalakkan orang ramai untuk terlibat sama dalam ekonomi digital serta Digital Memperkasakan Kerjaya iaitu memberi pendedahan supaya bersiap sedia menghadapi pelbagai cabaran dalam dunia kerjaya,” katanya.

Program KDM juga memberi ruang kepada Industri Kecil Sederhana (IKS) tempatan di Kuala Pilah untuk memasarkan produk mereka sepanjang dua hari ini, katanya.

Selain itu, turut diadakan pertandingan Mobile Legends, E-Sport FIFA 20, pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma serta persembahan daripada artis tempatan seperti Amy Search, Ito dan iamNEETA. Maklumat lanjut berkenaan program ini boleh diperoleh menerusi Facebook dan Instagram Kembara Digital Malaysia.

Hebahan berkaitan program ini telah dibuat sejak awal November lalu di seluruh sekolah-sekolah dalam daerah Kuala Pilah. Program KDM ini dijayakan oleh Pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Pilah.

Sumber: Bernama