Prestasi Google Pixel 5 Adalah Lebih Perlahan Berbanding Pixel 4, Hanya Dijana Snapdragon 765G

Ada 2 lagi telefon pintar dari Google yang akan dilepaskan pada tahun ini iaitu Pixel 4a 5G dan juga Pixel 5. Pixel 4a 5G merupakan saudara lebih besar untuk Pixel 4a. Namun Pixel 5 pula sebuah peranti mercu untuk tahun 2020 dan hadir dengan spesifikasi terbaik dari Google.

Untuk anda yang mengimpikan cip pantas flagship pada Pixel 5, kelihatannya ia tidak akan menjadi realiti disebabkan Pixel 5 kelak hanya akan dijana Snapdragon 765G.

Apa yang paling mengejutkan adalah Google telah membuang ciri 'Project Soli' pada Face Unlock Pixel 4 dan hanya menyertakan pengimbas cap jari sahaja di belakang telefon.

Kapsyen: Rupa bentuk Pixel 5 yang dilaporkan


Melihatkan itu, Pixel 5 kelihatan biasa-biasa sahaja dan tidak menampakkan perbezaan spesifikasi yang jauh berbanding Pixel 4.

Beberapa laporan telah mula menyatakan bahawa Pixel 5 akan hadir dengan saiz 6 inci yang lebih besar dengan Pixel 4a, namun akan dimuatkan dengan resolusi lebih tinggi QHD+ OLED.

Kadar segar semula 90Hz akan membuat kemunculan semula memberikan satu pengalaman skrin eksklusif sedikit berbeza dengan model bajet Pixel yang lain.

Bahagian bateri pula tidak diperkatakan secara spesifik, namun ada menyebut akan lebih besar berbanding pada Pixel 4 yang mempunyai kapasiti 2,800mAh.

RAM Pixel 5 akan dimuatkan dengan 8GB RAM manakala storan dalaman pula bermula 128GB.

Walaupun cipnya hanya Snapdragon 765G, ia memberikan satu kelebihan utama dari segi aspek bateri kerana jimat tenaga. Namun, dari segi prestasi ia terpaksa dikorbankan bermakna untuk anda yang kaki main permainan, mungkin Pixel 5 tidak sesuai untuk anda.

Apa pendapat anda mengenai penggunaan cip Snapdragon 765G ini dan bukannya cip kelas mercu?

Sumber: Android Police, Android Central, 9to5Google