Pokemon Go Akan Kembali Dengan 80 Watak Baru

Sejak pelancarannya pada bulan Julai yang lalu, Pokemon Go tidak banyak menerima kemaskini dan membuatkan permainan itu semakin kurang mendapat sambutan peminat. Walaupun pada awalnya aplikasi permainan ini menjadi fenomena di seluruh dunia, tetapi ia seakan-akan sudah dilupakan. Terkini, satu kemaskini 'besar-besaran' bakal diterima aplikasi berkenaan seperti yang dilaporkan pada laman teknologi CNET.

Kemaskini terbaru ini bakal membawakan 80 jenis watak baru yang diharap dapat menarik kembali minat orang ramai untuk bermain. Watak-watak baru ini diambil dari siri permainan Game Boy Colour yang dikeluarkan pada tahun 2000 dahulu. Ia merupakan watak yang berasal dari kawasan 'Johto' di dalam dunia Pokemon pada versi Gold dan Silver.

Niantic masih belum mengumumkan senarai lengkap watak-watak baru tersebut tetapi dilaporkan Chikorita, Cyndaquil dan Totodile akan tampil dalam kemaskini tersebut. Empat ciri baru dalam permainan Pokemon Go juga akan diperkenalkan, antaranya adalah cara menangkap pokemon yang baru. Pokemon mungkin akan bertindak diluar jangkaan anda apabila anda cuba menangkapnya.

Ciri seterusnya adalah, ciri evolusi. Ia bermaksud sesetengah Pokemon yang berasal dari kawasan Kanto akan berevolusi menjadi Pokemon dari kawasan Johto. Pemain juga mampu memperlahankan pergerakan Pokemon dengan menggunakan Nanab Berry atau menggandakan jumlah candy menggunakan Pinap Berry.

Ciri terakhir sekali adalah pilihan untuk ubah suai penampilan avatar anda seperti memilih topi, baju, seluar dan beberapa barangan lain. Barangan tambahan ini hanya boleh digunakan menerusi pembelian dalam aplikasi.

Tarikh sebenar kemaskini aplikasi masih belum diumumkan, jadi sama-sama kita nantikannya di Wiser.my

Sumber: Cnet