PMCC 2019 Melabuhkan Tirai - UTeM Bawa Pulang Hadiah Keseluruhan RM18 Ribu

Arena e-sukan semakin hari semakin mula diterima ramai dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari peminat di Malaysia. Buat julung kalinya, Kejohanan PUBG Mobile Campus Championship (PMCC) 2019 yang bergandingan bersama Yoodo sebagai Telco Digital Rasmi diadakan sepanjang 16 September - 24 November 2019.

PMCC merupakan satu kejohanan antara universiti atau kolej bagi mempamerkan bakat serta kebolehan para pelajar dalam permainan e-sukan.

Kejohanan akhirnya mengambil tempat pada hujung minggu lalu di IOI Mall, Puchong, Selangor dengan menyaksikan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah melakar sejarah apabila merangkul kejuaraan sulung selepas mengalahkan 15 universiti lain pada kejohanan tersebut.

Lima pelajar UTeM yang terlibat dengan kejohanan PMCC ini merupakan pelajar dari Fakulti Kejuruteraan.

Menurut Naib Canselor UTeM menerusi satu kenyataan di Bernama, beliau menyifatkan yang kejayaan tersebut membuktikan pelajar bidang kejuruteraan tidak hanya menyerlah dalam akademik semata-mata, malah mereka berlima turut berkepakaran luas dan mempunyai bakat dalam bidang e-sukan.

"Kejayaan ini sekali gus membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah RM 18,000 dan satu tempah khas mewakili UTeM dalam Kejohanan Kebangsaan PUBG Mobile 2020," ujarnya lagi.

E-sukan kini tidak lagi dipandang sebagai salah sebuah aktiviti yang membazirkan masa. Umum ramai mengetahui yang e-sukan kini merupakan satu cabang di mana golongan anak muda boleh memupuk semangat kesukanan dan secara tidak langsung, negara kita mampu melahirkan bakat-bakat baharu.

 

Sumber: Bernama