Reaksi Awal Plextone 4Life: TWS Dengan Rekaan Unik Khusus Untuk Gaming

Plextone pada kali ini hadir dengan penawaran fon telinga True Wireless Stereo (TWS). Menurut Plextone, fon telinga ini dikhususkan untuk permainan video dengan menawarkan latensi yang rendah.

Berikutan itu, kami telah menerima unit ulasan Plextone 4 Life dan di bawah adalah pendapat awal kami mengenai fon telinga ini.

Buka Kotak


Setelah kotak Plextone 4Life dibuka, anda akan melihat beberapa kandungan di dalamnya. Antara yang disertakan dalam kotak bungkusan adalah:



  • Sepasang fon telinga TWS 4Life

  • Pod pengecasan

  • Kabel pengecasan MikroUSB

  • Kad waranti

  • Manual pengguna


Rekaan




Melihat pada rekaan pod pengecasan, ia hadir dengan salutan berwarna hitam. Pod pengecasan ini tidak terlalu besar dan tidak pula terlalu kecil. Pada bahagian atas tertera tulisan yang besar dengan perkataan "4 Life". Dengan kemasan semi-lutsinar pada penutup, ia memudahkan anda untuk melihat lampu LED di bahagian dalam.



Ianya boleh diletakkan secara menegak mahupun melintang. Di bahagian belakang pod pengecasan pula dimuatkan dengan 4 lampu indikator bateri dan lubang pengecasan mikroUSB.

Pada bahagian lain dibiarkan kosong tanpa sebarang peletakan butang dan sebagainya.



Penutup magnet juga berfungsi dengan baik. Namun, untuk fon telinga, ia tidak melekat dengan begitu baik di dalam pod pengecasan serta mudah jatuh jika diterbalikkan.

Spesifikasi




Beralih ke spesifikasi, 4 Life dimuatkan dengan sambungan Bluetooth 5.0+EDR. Ia boleh digunakan pada jarak sehingga 8 meter. Menurut Plextone, dengan fon telinga yang dikhususkan untuk permainan video, ia didatangkan dengan latensi yang lebih rendah pada sekitar 120ms.

Antara fungsi lain yang ditawarkan pada Plextone 4 Life adalah ketahanan IPX5 yang kalis percikan air, peluh dan sebagainya. Fon telinga ini mempunyai berat 4.2 gram.



Terdapat butang kawalan pada fon telinga ini untuk memainkan dan menghentikan muzik, menjawab dan mematikan panggilan, melaraskan kelantangan bunyi dan sebagainya.

Dari segi ketahanan bateri, ia boleh menjangkau sehingga 14 jam dengan penggunaan bersama pod pengecasan. Jika hanya menggunakan fon telinga, ia boleh bertahan 3 hingga 4 jam. Seperti yang dinyatakan sebelumnya, ia hadir dengan port pengecasan mikroUSB. Pengecasan penuh fon telinga mengambil masa sekitar 1 jam 30 minit.

Fon telinga ini hadir dengan tiga pilihan warna iaitu Blue, Red dan Green.

Kesimpulan




Dengan harga yang ditawarkan pada sekitar RM69.90, anda mungkin tidak perlu menjangkakan yang lebih baik dari fon telinga ini. Namun, ianya adalah sepadan dengan harga yang ditawarkan bagi fon telinga TWS.

Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai prestasi, kemampuan audio, latensi dan lain-lain, nantikan ulasan video yang akan diterbitkan tidak lama lagi.

Berkaitan