Play Music Dan Youtube Red Mungkin Digabungkan Menjadi Satu Perkhidmatan

Play Music dan Youtube Red merupakan dua produk daripada Google yang membolehkan kita menikmati perkhidmatan penstriman muzik, audio dan juga video.

Selain itu terdapat juga Youtube Music yang menawarkan perkhidmatan sama dan agak ganjil juga mengapa Google memiliki 3 medium penstriman muzik. Ada yang mungkin keliru dalam memilih servis mana yang patut digunakan dan disebabkan itu satu berita telah timbul, Play Music dan Youtuber Red mungkin akan digabungkan.

Menurut laman The Verge, Google mahu menggabungkan perkhidmatan terbabit menjadi satu perkhidmatan baru dengan misi ia dapat "mendidik" pengguna dan menarik lebih ramai pelanggan baru.

Apa itu Play Music dan Youtube Red?

Play Music merupakan perkhidmatan penstriman muzik mirip Spotify dengan penawaran versi percuma dan berbayar. Untuk versi berbayar Play Music, anda boleh mengakses beberapa ciri Youtube Red.

Youtube Red pula merupakan perkhidmatan berbayar penstriman video tanpa iklan yang mempunyai ciri memainkan muzik pada latarbelakang dan simpan video luar talian. Turut mempunyai ciri akses ke Play Music.

Jadi jika kedua-dua servis boleh mengakses antara sama lain, mengapa ia tidak digabungkan menjadi satu sahaja? Mungkin itulah yang difikirkan oleh Google ketika mencadangkan perkara ini.

Sumber: The Verge