Pixel 5 Mungkin Hadir Dengan Rekaan Ini, Dilancarkan Hujung September?

Awal bulan ini sewaktu acara pelancaran Pixel 4a, Google juga ada mengumumkan dua buah peranti lagi iaitu Pixel 4a (5G) dan Pixel 5. Namun begitu, ia hanya memperlihatkan bahagian sisi peranti tanpa menyertakan spesifikasi lengkap mengenainya.

Terbaru, rekaan lengkap yang lebih menyeluruh telah dipertontonkan dimana ia adalah hasil perkongsian daripada @OnLeaks dengan kolaborasi bersama laman PriceBaba.



Melalui imej yang dikongsikan, rekaannya mirip kepada Pixel 4a tetapi dengan kemasan panel belakang yang seakan-akan bergemerlapan. Sensor pengimbas cap jari juga masih berada dibahagian tersebut.

Bagi tetapan rakaman belakang, modul petak dihuni dwi kamera, sensor dan LED flash. Jenis lensa dan sensor apa yang akan digunakan masih menjadi tanda tanya lagi.

Sisi peranti pula kelihatan hadir dengan kemasan berkilat, selari dengan imej yang dipertontonkan Google sebelum ini. Kawasan tersebut diletakkan dengan fungsi butang kuasa, pelaras kelantangan bunyi sementara sisi sebelah kiri pula ditempatkan dengan slot kad SIM.

https://www.youtube.com/watch?time_continue=31&v=A1aC1EjJYsA&feature=emb_title

Bawah peranti pula menempatkan port USB-C dan dwi pembesar suara. Panel paparan pula menunjukkan penggunaan rekaan berlubang pada penjuru kiri. Difahamkan saiz paparan adalah dalam lingkungan 5.7 inci ke 5.8 inci. @OnLeaks menyatakan "Pixel 5" ini akan tampil dengan dimensi 144.7 x 70.4 x 8.1mm (8.5mm termasuk bonggol kamera).

Berdasarkan khabar angin yang bertiup sebelum ini, Pixel 5 hanya dikuasakan oleh cip Snapdragon 765G, RAM 8GB, paparan OLED (90Hz), bateri 3080mAh dan menjalankan sistem operasi Android 11.

Peranti ini juga dikhabarkan akan diperkenalkan secara rasmi pada 30 September, manakala Pixel 4a (5G) pula sekitar Oktober. Adakah peranti generasi terbaru dari Google ini akan dimuatkan dengan kesemua yang telah disebutkan diatas, sama-sama kita nantikannya.

Sumber: PriceBaba