Pihak Yang Terkesan Boleh Mengambil Tindakan Terhadap Akaun Parodi Atau Palsu

Kewujudan lambakan akaun parodi yang kini menjadi trend baharu di media sosial telah memberikan masalah kepada orang ramai.

Ini kerana akaun-akaun seperti itu digunakan bagi menyampaikan berita palsu, mengejek atau mencerca di media yang menggunakan nama/jenama atau logo yang hampir serupa dengan badan atau pertubuhan yang dikenali ramai atau orang kenamaan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi Pengerusinya, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek memaklumkan bahawa pihak-pihak yang terkesan dengan akaun parodi atau palsu boleh mengambil tindakan undang-undang sivil terhadap pemilik akaun-akaun tersebut.

Ini kerana, tindakan itu adalah hak masing-masing dan negara juga mempunyai undang-undang lain yang boleh diguna pakai bagi menangani mereka yang menyalahgunakan teknologi untuk kepentingan tertentu selain bertujuan menjejaskan masyarakat.

Dalam penjelasan itu, beliau memberi contoh kewujudan akaun Twitter palsu JAKIM yang menyeleweng ayat al-Quran dan hadis yang digunakan atas nama parodi. Sekaligus menimbulkan masalah bagi pihak JAKIM.

Sebelum ini warga Twitter telah memaklumkan mengenai kewujudan akaun parodi ini yang menggunakan nama dan logo yang sama dengan akaun asal JAKIM. Namun, akaun palsu ini didapati cuba mengaburkan orang ramai dengan menggunakan huruf “L” kecil bagi menggantikan huruf “I” besar dalam akaun asal.

Kandungan akaun itu pula didapati cuba menyamar sebagai JAKIM dengan memuat naik hantaran-hantaran bersifat menghina serta mengandungi ucapan kebencian terhadap agama.

Susulan daripada itu, pihak Twitter telah mengambil tindakan segera dengan menggantung akaun tersebut selepas aduan dibuat.

Sumber: Bernama