Persoalan Sudah Terjawab, Peranti Huawei Tanpa Servis Google, Ini Respon Pihak Huawei

Minggu lepas Huawei telah pun mengumumkan barisan siri Huawei Mate 30 di Munich, Jerman. Huawei Mate 30 Pro kali ini hadir dengan perubahan rekaan yang drastik dengan skrin Flex OLED melengkung, melimpahi hampir keseluruhan sisi badan peranti.

Siri Huawei Mate 30 kali ini juga diberikan rekaan modul kamera bulat, dengan tetapan 4 kamera. Huawei Mate 30 Pro dilengkapi dengan sistem dwi-kamera dimana salah satunya (40MP SuperSensing) memfokuskan pada fotografi dan satu lagi (Cine Camera) untuk penambahbaikan rakaman video.



Ia dilihat satu langkah kedepan buat Huawei, dengan cip baru Kirin 990, tidak dapat disangkal ia adalah antara peranti yang terbaik di pasaran ketika ini. Namun, ada satu penyebab yang akan membuatkan pengguna hilang kepercayaan terhadap peranti Huawei kali ini dan peranti mereka seterusnya.

Siri Huawei Mate 30 Tiada Google Mobile Service (GMS)


Kepada yang belum mengetahui, Google Mobile Service (GMS) merupakan rangkaian servis aplikasi Google dalam bentuk awan. Ini termasuklah Google Play  Store, Gmail, Google Drive, Chrome, Youtube sehinggalah Gboard.

Menurut Jervis Su, Vice President Cloud Services, dalam satu sidang soal jawab, berkata ini bukanlah pilihan mereka. Mereka terpaksa 'bercerai' dengan Google atas sebab yang sudah diketahui umum- Donald trump.

Jervis Su turut berkata, Huawei menjadi mangsa terhadap sekatan dari AS dan mereka mahu mengambil situasi ini sebagai peluang untuk membina sendiri Huawei Mobile Service (HMS) untuk peranti akan datang tanpa kebergantungan terhadap Google.

Huawei Mobile Service (HMS): Talian Hayat Huawei


Huawei menyeru para pemaju aplikasi untuk menyumbang hasil kerja mereka di Huawei App Gallery. Pihak Huawei turut melabur sebanyak 1 bilion USD untuk membina servis (HMS) mereka sendiri dengan imbuhan 1000 USD kepada pemaju yang memuat naik aplikasi ke Huawei App Gallery.

Pada ketika ini ekosistem HMS sudah mempunyai 1 juta pemaju aplikasi seluruh dunia termasuklah untuk HUAWEI AppGallery, HUAWEI Browser, HUAWEI Mobile Cloud, HUAWEI Themes, HUAWEI Music, HUAWEI Video, HUAWEI Reader, HUAWEI Assistant dan beberapa aplikasi HMS apps lain.

Adakah Pengguna Masih Boleh Menggunakan GMS Melalui Aplikasi Pihak Ketiga?


Jervis Su turut ditanya adakah pihak Huawei akan memasukkan aplikasi pihak ketiga ke dalam peranti Huawei terutamanya siri Mate 30, untuk memudahkan pengguna memuat turun aplikasi dari Google Playstore.

Jawapan beliau "Kami tidak mempunyai perancangan untuk membuat demikian, pengguna perlu melakukannya sendiri jika mereka mahu kerana terdapat beberapa aplikasi APK yang mampu melakukanya"

Menurut 9To5Google, pengguna hanya perlukan 10 minit untuk memasang aplikasi Google untuk Huawei Mate 30. Berikut adalah langkahnya;

  1. Pergi ke https://www.lzplay.net/ dan muat turun pemasang Google Services Framework

  2. Jalankan pemasang tersebut

  3. Buka aplikasiGoogle Play Store. Pengguna mungkin perlu menghidupkan semula peranti jika tidak dibenarkan untuk log masuk.

  4. Muat turun semua aplikasi yang anda mahukan.


Namun, tidak dipastikan sejauh manakah keselamatan pengguna jika menggunakan kaedah ini. Pengguna masih boleh mengakses Gmail dan Youtube misalnya tetapi hanya melalui carian sesawang.

Bila Huawei Akan Mengumumkan Harmony OS secara rasmi?


Apabila ditanya tentang kehadiran Harmony OS, beliau berkata "Pihak Huawei masih lagi belum bersedia untuk melepaskan sistem operasi Harmony milik mereka."

"Apa yang pasti Huawei Mate 30 akan terus menggunakan platform AOSP Android untuk peranti Huawei akan datang" sambung Jarvis Su.



Huawei Malaysia terpaksa meminta kami berdiam diri tentang isu ini semasa pelancarannya sehingga 25 September atas alasan mereka memerlukan masa untuk menyediakan alternatif atau kaedah lain untuk menyelesaikan permasalahan ini.

Namun sehingga 25 September, pihak Huawei masih lagi tidak mempunyai apa-apa penyelesaian dan kata putus tentang perisian yang akan digunakan untuk pasaran Malaysia. Tetapi mereka berkata, pelancaran di Malaysia sudah pasti akan berlaku kemungkinan bulan hadapan.

Amat sukar untuk Huawei menjual peranti yang tidak memiliki teras GMS. Kita sudah lihat bagaimana Microsoft dan Blackberry gagal menarik sokongan pemaju aplikasi dan seterusnya gagal dalam industri tanpa Google

Sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi dari Huawei Malaysia.

Baca lagi: https://wiser.my/rasmi-siri-huawei-mate-30-diperkenalkan-dilengkapi-cip-baru-kirin-990-tanpa-butang-dan-tetapan-4-kamera-bersama-huawei-supersensing/