Permainan Mudah Alih Game Of Thrones: Conquest Sudah Boleh Mula Dimuat Turun Android Dan iOS

Berita gembir buat penggemar siri popular, Game of Thrones, kerana Warner Bros. Interactive Entertainment dan HBO Global Licensing telah berjaya melancarkan satu permainan bagi platform telefon pintar.

Permainan yang dikenali sebagai Game of Thrones: Conquest itu dibangunkan oleh Turbine dan ia berasaskan permainan MMO  (massively multiplayer online) yang bakal membawa pemain menyelami dunia ciptaan George R.R Martin itu.



Seperti di dalam siri yang sebenar, pemain harus menempuh pelbagai kepincangan politik di Westeros tetapi sebelum itu pemain perlulah mencipta house dan sigil mereka yang tersendiri. Bangunkan bala tentera yang hebat atau pemain bakal ditumpaskan oleh house yang lain.

Menurut Jeff Peters, Naib Presiden HBO Global Licensing, peminat mempunyai pandangan yang tersendiri terhadap siapa yang layak menuntut takhta besi dan menerusi permainan ini, mereka berpeluang merampasnya daripada house yang lain. Tetapi sebelum layak menduduki Iron Throne, kepakaran dan strategi peperangan mereka akan diuji terlebih dahulu.

Game of Thrones: Conquest boleh dimuat turun telefon pintar Android dan iOS secara percuma. Mungkin permainan ini mampu mengubat penderitaan peminat tegar yang terpaksa menunggu sehingga 2019 untuk siaran musim terakhir.