Permainan Luar Talian "Surf" Kini Tersedia Pada Pelayar Microsoft Edge, Lebih Menarik Dari Chrome Dino

Tahun lalu, Surf digunakan sebagai sebahagian daripada permainan tersembunyi untuk mendedahkan logo baru pelayar Microsoft Edge. Permainan Surf tersebut adalah sangat mirip dengan SkiFree, permainan klasik ski yang dikeluarkan sebagai sebahagian daripada Microsoft Entertainment Pack 3 untuk Windows pada tahun 1991.

Kini, permainan tersebut telah dilancarkan sebagai permainan luar talian bagi pelayar Edge. Perkara tersebut diumumkan oleh Pengurus Produk Microsoft Edge, William Devereux, melalui satu kiriman di Twitter.

[embed]https://twitter.com/MasterDevwi/status/1232737350205104128[/embed]

Permainan ini adalah jauh lebih menarik berbanding yang ditawarkan oleh Chrome. Daripada permainan berlari yang tidak berkesudahan seperti Chrome Dino, Surf menawarkan permainan meluncur melalui laut yang penuh halangan.

Terdapat tiga mod yang tersedia untuk permainan ini, termasuk Let's Surf, meluncur tanpa henti untuk mendapatkan skor tertinggi. Seterusnya mod Time Trial, yang mencabar anda untuk ke garisan penamat secepat mungkin, dan Zig Zag, yang memaksa anda melalui pintu gerbang selama mungkin.

Selain itu, permainan ini menyokong beberapa kaedah input yang berbeza. Ia boleh dimainkan menggunakan sentuhan, papan kekunci , tetikus, dan juga game pad.

Microsoft telah menambah permainan ini ke Edge Canary /Dev di pelayar hari ini, dan akan mula tersedia bagi versi stabil tidak lama lagi. Selain dapat dimainkan ketika tiada sambungan internet, permainan ini juga boleh diakses melalui edge://surf/.

Sumber: The Verge, 9to5Google