Perkhidmatan BBM Untuk Pengguna Bakal Dihentikan Hujung Bulan Depan

Sekiranya anda pernah mengalami generasi di mana BlackBerry adalah merupakan salah satu jenama telefon yang terkenal, anda pasti pernah mendengar tentang BlackBerry Messenger.

Perkhidmatan ini mungkin kurang popular di Malaysia beberapa tahun terdahulu, namun ia kekal relevan di negara jiran kita, Indonesia sehingga dua atau tiga tahun lepas.

Malangnya, perkhidmatan tersebut akan tidak akan bertahan untuk tempoh yang lama lagi.

Kapsyen: The Telegraph


Ini kerana syarikat Emtek dari Indonesia, yang mengelola servis berkenaan ketika ini telah mengumumkan bahawa BBM untuk pengguna akan ditamatkan pada 31 Mei nanti.

Antara sebab penamatan ini ialah pengguna dikatakan sudah tidak lagi menggunakan perkhidmatan mereka dan beralih ke platform permesejan lebih popular seperti WhatsApp, Telegram dan WeChat.

Selepas tarikh 31 Mei, pengguna tidak lagi boleh membuka mesej-mesej lama, memuat-turun gambar, video atau fail yang terkandung di dalam BBM mereka.

Kira-kira 10 tahun lalu, BBM merupakan antara pesaing terkuat Apple iMessage, dan ia agak menyedihkan melihat bagaimana dua perkhidmatan tersebut mempunyai nasib yang sangat berbeza ketika ini.

 

Sumber: BBM