Perkembangan Terkini Penghasilan Vaksin COVID-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa,   sebanyak 10 vaksin COVID-19 telah memasuki ujian klinikal fasa ketiga melibatkan percubaan terhadap manusia.

KKM menyatakan fasa ketiga ini merupakan fasa yang paling penting kerana ia melibatkan sukarelawan dalam skala lebih besar dan fasa ini juga akan menentukan sama ada vaksin itu berkesan atau sebaliknya.

Sebagai makluman, beberapa syarikat utama dari beberapa buah negara seperti syarikat Johnson & Johnson dari A.S, BioNTech dari Jerman dan Fosun Phrlarma dari China akan melakukan ujian vaksin COVID-19 ke atas ratusan ribu sukarelawan.

Proses ujian vaksin dibahagikan kepada empat iaitu:



1. Ujian praklinikal (ujian terhadap haiwan seperti tikus atau monyet)

2. Ujian Keselamatan Fasa Satu (melibatkan kumpulan kecil sukarelawan)

3. Ujian Keselamatan Fasa Dua (melibatkan ratusan peserta yang dipecahkan beberapa kumpulan seperti kanak-kanak dan orang tua)

4. Ujian Keselamatan Fasa Tiga (melibatkan puluhan ribu peserta dari beberapa negara. Tahap ini, sebarang kesan sampingan jika ada, akan mudah dikesan kerana melibatkan peserta pada skala besar)


Menurut FDA Amerika Syarikat, satu-satu vaksin yang baharu dihasilkan hyana akan dikira sebagai berjaya sekiranya ia boleh melindungi 50% sukarelawan daripada dijangkiti penyakit.

KKM juga memaklumkan ketika ini, 5 daripada 10 vaksin COVID-19 telahpun mendapat kelulusan awal atau terhad walaupun ujian fasa ketiga belum diperoleh.

Daripada 5 vaksin itu, 4 darinya adalah dihasilkan syarikat dari China dan 1 dari Rusia.

Sungguhpun begitu, pakar-pakar telah membantah kelulusan awal yang diberikan oleh beberapa negara itu terhadap vaksin yang masih belum melalui fasa ketiga.

Seperti semua sedia maklum, Kerajaan Malaysia telah mengumumkan bahawa akan menyertai COVID-19 Vaccine Global Access (COVAX) Facility bagi mendapatkan sebahagian bekalan vaksin COVID-19.

Penyertaan Malaysia di dalam COVAX adalah bagi memastikan Malaysia mendapat bekalan vaksin yang mencukupi dan antara yang terawal menerimanya pada harga yang berpatutan selepas terbukti ia selamat dan berkesan.