Baik, bagi anda yang mungkin belum sedia maklum, Google akan menamatkan servis storan gambar tanpa had Google Photos secara percuma bermula dari 1 Jun 2021.
Selepas dari tarikh itu, setiap pemilik akaun google hanya akan menerima storan percuma bersaiz 15GB sahaja dari Google menerusi servis Google One.
Limitasi storan 15GB itu termasuklah bagi menyimpan semua data dari servis Google yang lain termasuklah, dokumen, gambar, audio, kandungan yang terdapat di dalam Gmail, Google Drive, aktiviti kalendar, orang hubungan (Contacts) dan lain-lain akan termasuk di dalam storan 15GB tersebut.
Mengapa tiada lagi storan Google percuma tanpa had?
Jadi, mengapa secara tiba-tiba sahaja Google menamatkan servis storan percuma tanpa had mereka kepada penggunanya?
Sebelum ini isu had storan tidak pula menjadi masalah kepada Google.
Menurut Google, pada setiap minggu pengguna Google yang berjumlah lebih daripada 1 bilion pengguna akan memuat naik sebanyak 28 bilion gambar ke dalam servis Google Photos.
Jadi, ini mungkin menyebabkan Google tidak lagi mampu menampung kapasiti serta kos yang semakin meningkat saban tahun bagi meneruskan servis storan percuma mereka.
Maka Google hanya menawarkan saiz storan percuma 15GB sahaja kepada penggunanya dan menawarkan langganan storan berbayar bagi membolehkan perkhidmatan mereka terus beroperasi untuk masa hadapan.
Lakukan ini sebelum 1 Jun 2021
Untuk pengetahuan anda, Google ada memaklumkan bahawa segala gambar-gambar dan video yang dimuat naik ke dalam servis Google Photos sebelum tarikh 1 Jun 2021 adalah tidak akan dikira dalam had storan 15GB itu.
Bermakna sebelum 1 Jun 2021, anda masih boleh membuat salinan (backup) segala gambar dan video beresolusi tinggi ke dalam Google Photos tanpa bimbangkan had storan Google anda.
Jadi sebelum 1 Jun ini, anda bolehlah terus memuat naik segala gambar dan video yang ada di dalam telefon pintar ke dalam servis Google Photos.
Bermula 1 Jun 2021
Seperti yang dinyatakan di awal tadi, apabila servis storan percuma Google itu ditamatkan bermula 1 Jun 2021, pemilik akaun Google hanya akan menerima storan percuma sebanyak 15GB sahaja bagi semua servis Google.
Selepas dari tarikh itu, jika storan Google anda telah hampir sampai hadnya, Google akan memaklumkan anda menerusi e-mel.
Tetapi jika storan 15GB itu sudah penuh, anda terpaksalah mula merancang melanggan servis storan Google yang dikenali sebagai Google One.
Jika mahu saiz storan Google lebih besar
Bagi mereka yang mungkin merasakan had storan percuma 15GB yang diberikan Google itu tidak mencukupi, Google ada menawarkan servis langganan storan secara bulanan menerusi Google One
Langganan servis storan itu bermula dari storan bersaiz 100GB pada harga RM8.49/bulan.
Semuanya di Google One
Kesimpulannya, muat naiklah segera semua gambar dan video anda dari dalam peranti pintar anda ke dalam Google Photos sebelum 1 Jun 2021 yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.
Selepas 1 Jun 2021 nanti, tiada lagi servis storan percuma tanpa had untuk Google Photos, Google Drive dan Gmail.
Semuanya akan berada di bawah satu bumbung storan yang hanya bersaiz 15GB sahaja yang diurus di bawah servis Google one.
Pengguna awam yang mahukan saiz storan Google lebih besar terpaksalah melanggan servis Google One secara bulanan yang berharga dari RM8.49/bulan.
Bagi pengguna Google seperti syarikat-syarikat yang mahukan saiz storan lebih besar untuk syarikat mereka pula, mereka boleh melanggan servis Google Drive menerusi Google One untuk storan bersaiz sehingga 30TB yang berharga RM1,289.99/bulan.
Untuk info lanjut, layari laman rasmi servis Google One ini.