Perisian Intip Terbaru Dari Russia Menyamar Dalam Pelbagai Kategori Aplikasi Popular Android

Reading Time: 2 minutes

Antara aplikasi popular Android yang digunakan dalam samarannya adalah aplikasi lucah PornHub, aplikasi pelayar UC Browser, aplikasi produktiviti Evernote dan banyak lagi.

Pihak penyelidik keselamatan siber dari Lookout telah menemui kewujudan satu perisian hasad intip terbaru yang telah disebarkan secara meluas menerusi peranti Android.

Perisian hasad yang dikenali sebagai Monokle didapati menyasarkan peranti Android sejak Mac 2016 lagi yang digunakan secara khusus bagi menyerang pengguna tertentu peranti Android.

Dalam laporan penyelidikan keselamatan yang diterbitkan Lookout bertajuk Monokle: The Mobile Surveilance Tooling of the Special Technology Center menyatakan, perisian hasad ini digunakan bagi mengintip dan seterusnya menyalin dan menghantar data yang berjaya diambil dari peranti Android ke pelayan tanpa disedari pemiliknya.

Selain itu, Monokle juga bertindak sebagai penjejak lokasi, merakam panggilan dan suara, mampu merakam aktiviti skrin, mengakses data pelayaran internet, mengambil gambar dan video, mendapatkan salinan e-mel, mesej, orang hubungan, membuat panggilan atau mengahntar mesej teks palsu dan banyak lagi.

Setakat ini, penyelidik menyatakan Monokle mampu melakukan sebanyak 78 arahan yang ditetapkan oleh penggodam.

Menurut penyelidik lagi, penyebaran perisian hasad Monokle dibuat dengan ia menyamar sebagai aplikasi-aplikasi popular yang digunakan oleh pengguna Android. Antara aplikasi yang dijadikan samarannya adalah Pornhub, Evernote, Signal, UC Browser, Skype dan lain-lain.

Antara aplikasi yang digunakan dalam samaran Monokle. Pengguna Android sebaiknya semak dahulu pembangunnya bagi memastikan ia adalah dari pembangun aplikasi yang sah. Kredit: Lookout

Penyamaran tersebut berjaya mengelirukan pengguna sekaligus menyebabkan penggguna tanpa sedari mereka sebenarnya sedang memuat turun aplikasi palsu.

Lebih mengelirukan adalah aplikasi palsu itu pula beroperasi seolah-olah ia adalah aplikasi sah bagi mengelakkan ia daripada disyaki penggunanya.

Penyelidik mendakwa, perisian hasad ini dibangunkan oleh syarikat pembangun aplikasi dari Russia yang dikenali sebagai Special Technology Centre Ltd. (STC).

Syarikat tersebut merupakan firma swasta yang bekerja untuk tentera Russia dan juga menyediakan perkhidmatan mereka kepada kerajaan lain.

Setakat ini, Monokle hanya menyasarkan pengguna peranti Android sahaja. Walaubagaimanapun, penyelidik mendedahkan versi Monokle untuk peranti iOS turut sedang giat dibangunkan oleh syarikat tersebut.

Mangsa utama mereka pula didakwa disasarkan kepada individu yang berminat dengan Islam, grup militan  Syria, individu tertentu di dalam beberapa buah negara di Asia dan lain-lain.

ariff bukhari
Tentang Penulis

Ariff Bukhari adalah penulis dan pemilik laman AriffMac.com yang mengkhususkan produk-produk Apple. Kini beliau berkolaborasi bersama team Wiser.my.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *