Perisian Hasad Ini Tidak Boleh Dipadam Walaupun Factory Reset Dilakukan

Dilaporkan sudah menjangkiti 45,000 telefon pintar, perisian hasad yang dipanggil xHelper ini menimbulkan kerisauan kerana ia tidak boleh dibuang  walaupun peranti ditetapkan semula kepada tetapan kilang (factory reset).

Mampu memasang semula selepas dipadam, xHelper pertama kali dikesan pada bulan Mac lalu dan sekitar lima bulan berikutnya, ia sudah dikenal pasti berada pada 32,000 telefon pintar dan meningkat dari hari ke hari.



Menurut laporan daripada Symantec, sebanyak 131 buah peranti dijangkiti perisian hasad ini atau lebih kurang 2400 buah peranti dalam masa sebulan yang mana kebanyakannya melibatkan pengguna di India, Amerika Syarikat dan Rusia.

Pembangun dari Malwarebytes menyatakan xHelper dipasang pada peranti melalui muat turun aplikasi pihak ketiga yang ditawarkan diluar dari Google Play Store. Pengguna akan dibawa ke halaman yang menyenaraikan aplikasi Android secara web redirects,  laman itu seterusnya akan menunjukkan cara-cara untuk membuat side-load dan kod yang tersembunyi pada aplikasi akan memuat turun xHelper kedalam peranti.

Setelah pemasangan aplikasi secara sideload dilakukan, xHelper akan mula beroperasi dengan memaparkan iklan secara keterlaluan dan turut mengganggu notifikasi peranti pengguna.

Selain itu, notifikasi iklan terbabit juga akan membawa pengguna ke Google Play Store, seterusnya pengguna diminta untuk memuat turun aplikasi lain. Ini sekaligus memberi keuntungan kepada pihak disebalik xHelper menjana keuntungan dari setiap muat turun aplikasi yang dilakukan.

Walaupun buat masa sekarang ia hanya beroperasi dengan paparan iklan serta dan notifikasi yang mengganggu, pakar dari Symantec dan Malwarebytes memberi amaran terdapatnya fungsi berbahaya lain yang membolehkan ia mencuri data peribadi pengguna seperti maklumat perbankan.

Sungguhpun perisian hasad ini belum lagi kedengaran berlaku dalam kalangan pengguna tempatan, tetapi anda dinasihatkan untuk lebih berhati-hati serta tidak memasang aplikasi yang ditawarkan di luar Google Play Store bagi mengelakkan perkara serupa berlaku.

Sumber: ZD Net