Peringatan: Jangan Percaya Penipuan Mengatakan Akaun iCloud Anda Digodam

Ada kumpulan penggodam di luar sana mendakwa mereka boleh menetapkan semula ratusan juta iPhone dengan menggunakan iCloud yang dipecah masuk. Serangan itu akan berlaku pada 7 April jika Apple tidak membayar wang ugutan, tetapi pembuat iPhone itu  menafikan dakwaan tersebut. Jika benar dakwaan itu, penggodam menggunakan data yang diambil dari godam sebelum ini dan digunakan untuk serangan. Belum ada motif rasmi kumpulan ini dan dilihat hanya mencari publisiti.

Dengan perkembangan ini, terdapat sekumpulan penipu cuba menangguk di air keruh. Mereka memanggil pengguna iPhone secara rawak untuk memberitahu akaun iCloud mereka telah digodam. Anda diminta untuk tidak mempercayai mereka dan besar kemungkinan akaun anda masih selamat.

Penipuan itu dilakukan dengan mendakwa mereka memanggil anda dari bahagian sokongan Apple. Mereka akan memberitahu akaun iCloud anda telah digodam dan akan meminta butiran keselamatan untuk mengesahkan identiti anda. Maklumat yang diperolehi kemudian akan digunakan untuk log masuk ke akaun seterusnya membuat pembelian, mengakses mesej yang dilindungi dan banyak lagi.

Tambahan pula, penipu terbabit akan menyuruh anda memasang perisian antivirus di komputer anda dimana perisian itu mungkin malware yang akan mencuri data anda.

Jika anda percaya akaun iCloud anda telah digodam, tukar kata laluan anda di peranti yang anda percaya selamat dan mempertimbangkan 2-faktor pengesahan. Jalan terakhir ialah menghubungi pihak Apple sendiri.

Sumber

Berkaitan