Perbezaan Antara Stock Android Dan MIUI

Mi Malaysia akhirnya sudah mengumumkan tarikh pra-tempah untuk pasaran Malaysia bagi model baru Mi A1 yang dilancarkan 2 minggu sudah.

Menariknya tentang telefon pintar ini adalah ia akan menggunakan Android asli atau Stock Android, meninggalkan antaramuka MIUI yang cukup sinonim dengan pengguna Xiaomi.

Timbul persoalan bagi sesetengah pengguna yang mana mereka sedikit keliru berkenaan Android asli ini dan untuk menjawab kekeliruan itu, mari kita lihat perbezaan antara kedua-duanya.

Android Asli



Program Android One mula diperkenalkan oleh Google pada 2014 yang mana ia merupakan langkah oleh Google dalam menyediakan peranti dengan harga yang rendah dioperasikan dengan sistem Android. Mi A1 merupakan telefon pertama Xiaomi menggunakan Android asli, "Dicipta oleh Xiaomi, dikuasakan oleh Google".

Jika anda seorang yang mementingkan keselamatan data, dan kestabilan telefon, anda bolehlah memilih sistem operasi ini. Hal ini kerana Google telah menjalankan ujian yang ketat terhadap Android asli supaya ia menjadi sebuah sistem yang stabil, berjalan lancar dengan perisian yang selamat.

Dari segi penyesuaian tema dan antaramuka pula, ia hadir dengan rekaan ringkas (mungkin ada yang akan bosan) dan Google sengaja menghalang perisian luar dari mengubah antaramuka supaya sistem mereka tidak diceroboh.

Kebanyakkan pengeluar telefon sekarang mengubah sistem Android yang  dibangunkan oleh Google dan ia boleh menjadikan prestasi telefon sedikit menurun. Ditambah pula dengan aplikasi bloatware yang sesetengahnya tidak digunakan langsung oleh pengguna. Mengapa harus ada dua aplikasi sama didalam telefon pintar? seperti contoh aplikasi foto.

Selain itu, apabila Google memperkenalkan sistem operasi yang baru, sudah tentu pengguna Android asli diutamakan berbanding yang lain. Itulah mengapa sehingga sekarang ada sesetengah dari pengguna Xiaomi masih belum merasai Android Nougat walaupun, Android Oreo sudah dilancarkan.

MIUI



MIUI pula adalah antaramuka ciptaan Xiaomi dilengkapi dengan ciri yang mesra pengguna.Berbeza dengan Android asli, kitaran pembangunan atau kemaskini MIUI boleh dianggap kerap dan ini menjadikan antaramuka ini sentiasa terdedah dengan pepijat dan beberapa kelemahan lain.

Selain itu, pengenalan kepada fungsi-fungsi baru semakin pantas dan MIUI mungkin akan ketinggalan sedikit berbanding sistem Android asli.

Jadi jika anda seorang yang tidak kisah dengan ketidakstabilan dan risiko kerentanan yang agak kerap, MIUI sesuai untuk anda. Sejujurnya banyak juga ciri menarik yang ada pada MIUI seperti dwi aplikasi, dan ruang kedua (second space).

Diharapkan dengan penerangan serba sedikit ini dapat merungkaikan persoalan anda yang mungkin sebelum ini tidak tahu apakah perbezaan antara MIUI dan Android asli.

Bagi yang berhajat untuk memiliki peranti ini, pra-tempah boleh dibuat di Mi Store Lazada tepat jam 12 tengah malam ini. Selain itu anda juga boleh membuat pra-tempah di Mi Premium ResellerMi Premium Reseller (Queensbay Mall), Mobile To Go (SS2 PJ) dan cawangan Direct D.