Perbandingan Xiaomi Mi 9T vs Samsung Galaxy A80- Ini Adalah Telefon Pintar Paling Tak Berbaloi Untuk Dibeli

Reading Time: 4 minutes

Baru-baru ini, Samsung memperkenalkan Galaxy A80 yang menggunapakai sistem kamera berputar dalam mengetengahkan paparan skrin penuh tanpa takuk dibahagian depan skrin. Ini bermakna kameranya tersembunyi di bahagian panel belakang yang akan terangkat dan berputar apabila diaktifkan.

Namun, disebalik keunikan Galaxy A80 ini, ia membuatkan saya tertanya-tanya tentang kewujudan peranti ini di pasaran dan menjadikannya peranti paling tidak berbaloi untuk dibeli. Dengar seperti kasar bukan?

Dalam usaha untuk mengukuhkan hujah dan atas rasa tanggungjawab, saya akan membandingkan peranti ini dengan satu lagi peranti kelas pertengahan dengan spesifikasi yang sama iaitu Xiaomi Mi 9T.

Rekaan: Satu ‘Aumm’, Satu lagi ‘Meow’

Ya tidak dinafikan, dengan sistem kamera berputar, Galaxy A80 sangat seronok digunakan terutamanya kepada golongan nerd seperti saya sendiri. Dengan rekaan ini juga bermakna tiada lagi kamera selfie tambahan dibahagian belakang peranti.

Berbeza dengan apa yang diketengahkan oleh Xiaomi Mi 9T, rekaan panel belakangnya diberikan sentuhan yang lebih garang dengan corak seakan ‘bara api’. Ia juga dibekalkan dengan lubang 3.5mm jack yang tidak ada pada Galaxy A80.

Rekaan kamera berputar juga akan menjadi ‘kebudak-budakan’ dan tidak lagi relevan apabila rekaan indisplay camera mula digunapakai dalam setahun dua yang mendatang.

Apa Kata Juri:  Xiaomi Mi 9T menang mudah. 

Tenaga Batin: Kedua-duanya Cemerlang Untuk Kelas Pertengahan

Xiaomi Mi 9T dan Samsung Galaxy A80 dibina dengan cip pemprosesan Snapdragon 730. Diatas kertas ini adalah cip kelas pertengahan premium yang anda boleh dapat di dipasaran ketika ini. Malah ia mampu menyamai prestasi cip flagship Snapdragon 835 dalam beberapa aspek.

Galaxy A80 membawakan sokongan pengecasan pantas 25W manakala Mi 9T pada 18W. Ia bergantung pada penggunaan setiap individu tetapi pada saya, ia tidak memberikan signifikan yang besar.

Tetapi, Xiaomi Mi 9T dibekalkan dengan bateri 4,000mAh berbanding Galaxy A80 iaitu pada 3,700mAh. Sebagai seorang yang selalu bermain game di peranti mudah alih, lagi besar bateri adalah lebih bagus.

Apa Kata Juri: Xiaomi Mi 9T menang, persaingan rapat tetapi saya memilih bateri yang lebih besar.

Phonetography: Kamera Ada 3 Tapi Kalau Tak Pratikal, Tak Guna Juga.

Seperti yang saya sentuh pada awal tadi, Galaxy A80 hanya menggunakan satu modul yang dilengkapi dengan 3 kamera untuk kamera depan dan belakang iaitu 48MP f/2.0, 8MP f/2.2 dan satu lagi bukan kamera, ia adalah sensor 3D TOF. Secara teorinya Galaxy A80 hanya memiliki 2 kamera.

Berbanding Xiaomi Mi 9T pula, ia menggunapakai kamera 48MP yang sama tetapi diiringi oleh kamera sudut luas 13MP f/2.4 dan satu lagi kamera telefoto 8MP f/2.4.

Melalui pengalaman saya sendiri, modul kamera pada Xiaomi Mi 9T adalah lebih praktikal kerana ia memberikan penggunaan yang lebih versatil berbanding sensor 3D TOF yang masih belum ‘ranum’.

Apa Kata Juri: Sekali lagi, Xiaomi Mi 9T menang mudah.

Skrin: Yang Mana Satu Sedap Layan Netflix

Xiaomi Mi 9T hadir dengan skrin AMOLED 6.39 inci manakala Galaxy A80 dengan Super AMOLED 6.7 inci. Disini ia bergantung pada citarasa masing-masing kerana saya sangat tidak selesa dengan peranti dengan skrin terlalu besar. Susah untuk mencapai dan navigasi dari aplikasi ke aplikasi.

Kedua-duanya tidak memberikan perbezaan signifikan melalui mata kasar. Malah Mi 9T memiliki ketumpatan piksel yang lebih tinggi iaitu pada 403ppi dengan skrin yang lebih kecil sepatutnya memberikan paparan lebih tajam.

Apa Kata Juri: Seri, tetapi jika ditanya, saya lebih berat ke Xiaomi Mi 9T.

Harga Jualan: Perbezaan Sangat Ketara, Umpama Langit Dan Bumi

Samsung Galaxy A80 dijual pada harga RM2,499 manakala Xiaomi Mi 9T pula…RM1,399! Gila. Jika pengiraan matematik saya betul ini bermakna beza harga antara kedua-dua peranti ini adalah RM 1,100.

Dengan tanda harga RM 2,499, Galaxy A80 menimbulkan lebih banyak pertanyaan daripada keghairahan.  Ia juga merupakan peranti dalam barisan siri A yang paling mahal setakat ini. Malah jika difikirkan sejenak, anda hanya perlu menambah RM200 untuk memiliki Samsung Galaxy S10e yang lebih mantap dari semua aspek.

Apa Kata Juri: Anda sendiri sudah boleh agak siapa pemenang disini.

Ringkasan Perbandingan

 

Kenapa Perlu Beli Benda Mahal Sedangkan Ada Yang Lebih Mampu Milik Dan Masuk Akal

Dengan duit lebih RM1,100, banyak lagi benda lain yang boleh dibeli. Jika anda memang tak kisah tentang duit, bagi saya, Xiaomi Mi 9T masih tetap menjadi pilihan. Tidak logik jika anda membeli Galaxy A80. Kalau banyak duit, boleh beli Xiaomi Mi 9T dua biji dan bagi satu kepada mak ayah atau keluarga adalah lebih baik.

Malah, walaupun Galaxy A80 baru sahaja dilancarkan, ia sudah pun menerima banyak kritikan apabila kameranya gagal berfungsi dan masalah pengimbasan cap jari dalam skrin yang tidak responsif.

Dengan pendekatan kamera berputar, bermakna Samsung sudah pun mengurangkan kos dengan ketiadaan kamera selfie tetapi harga jualannya masih tetap tidak masuk akal.

Anda boleh baca dengan lebih lanjut pendapat kami tentang Xiaomi Mi 9T. Pada kami, ia merupakan peranti kelas pertengahan wajib dibeli jika itu yang anda cari ketika ini.

Apa-apa pun, ini hanyalah pandangan peribadi saya sahaja. Setiap orang mempunyai minat masing-masing dan terserah kepada anda untuk membuat keputusan. Saya disini hanya menyuarakan pendapat dan ingin membantu anda membuat pilihan yang tepat.

Haikel Areff
Tentang Penulis

Quaterback Wiser.my

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *