Perbandingan Spesifikasi Antara Razer Phone 2 Dan Razer Phone

Kini Razer Phone 2 sudah rasmi dan mungkin ada yang tertanya-tanya tentang pembaharuan yang dibawa jenama gaming popular terbabit.

Apa yang lebih, apa yang kurang? Mari kita turuti laporan perbandingan yang digarap daripada Android Authority.

Rekaan

Tidak banyak perubahan yang ditampilkan pada model terbaru. Rekaan petaknya masih sama dengan bezel tebal masih menghiasi paparan hadapan dan menempatkan dua corong speaker talaan hadapan.



Kedudukan kamera juga dianjak kebahagian tengah dan salah satu perubahan ketara adalah logo Razer yang boleh menyala. Razer ada menyatakan bahawa perubahan ini akan memberi ruang kepada rakaman foto potret yang lebih baik.

Nyalaan logo akan berubah-ubah warna. Menurut laporan perbandingan ini juga, sekiranya notifikasi muncul, telefon akan berubah warna tetapi buat masa sekarang masih belum ada tetapan untuk pemilik mengubahnya sendiri.

Ciri ini mungkin jadi daya penarik bagi penggema kesan Chroma LED.

Paparan dan Prestasi

Dari segi spesifikasi paparan, ukuran dan jenisnya masih sama iaitu 5.72 inci dengan panel IGZO LCD beserta resolusi 1440 x 2560 piksel.



Ia masih mengekalkan kadar segar semula paparan iaitu pada nilai 120Hz. Mungkin mendengar keluhan pengguna sebelum ini, Razer telah menambah baik kecerahan skrin dimana Razer Phone 2 50% lebih cerah berbanding model sebelumnya.

Ciri pelindung juga lebih baik iaitu menggunakan Corning Gorilla Glass 5 sementara model lama menggunapakai Corning Gorilla Glass 3.

Beralih kepada sistem dalaman, Razer Phone 2 dipersenjatakan dengan Snapdragon 845. Mengikuti ulasan daripada laporan, tidak banyak perubahan ketara bagi penggunaan harian berbanding Razer Phone.

Kedua-duanya dijana dengan RAM 8GB tetapi apa yang berlainan adalah Razer Phone 2 dipasang dengan LPDDR4x RAM (Razer Phone dipasang dengan LPDDR4 RAM).

Memori baru ini dikatakan lebih efisien dari segi kuasa dan menjimatkan nyawa bateri.

Sebelum ini, Razer Phone  hanya ditawarkan pada storan 64GB tetapi model penyambungnya membawakan variasi 64GB dan 128GB.

Terdapat slot kad MikroSD bagi pengguna yang mahukan lebih ruang simpanan.

Kamera

Razer Phone 2

  • Dwi kamera belakang 12MP (lensa sudut lebar f/1.75  Sony dan telefoto f/2.6)

  • Kamera selfie 8MP dengan f/2.0

  • Dual PDAF

  • Dwi tona, dwi LED Flash

  • Video 160p@60fps dan 1080@120fps

  • Rakam bunyi stereo


Razer Phone

  • Dwi kamera belakang 12MP (lensa sudut lebar f/1.75 dan telefoto f/2.6)

  • Kamera selfie 8MP dengan f/2.0

  • PDAF

  • Dwi tona, dwi LED Flash


Sistem kamera kelihatan masih sama, tetapi kali ini Razer mengetengahkan lensa sudut lebar dengan ciri OIS buatan Sony.

Seperti yang telah dinyatakan diatas, kedudukan kamera yang dialih ke bahagian tengah boleh memperelok rakaman mod potret disamping antaramuka sistem kamera yang dikemaskini.

Menurut Razer, tetapan kamera Razer Phone 2 adalah lebih baik daripada sebelumnya.

Audio

Razer mendapat pujian untuk ciri audio pada keluaran pertama, dan tetapan sama akan turut muncul pada Razer Phone 2.



Ia juga akan mengikut jejak langkah Razer Phone dengan tidak menawarkan bicu audio 3.5mm tetapi dibekalkan dengan penyesuai USB-C beserta sokongan 24-bit DAC.

Bateri

Sekali lagi bateri 4000 mAh digunakan dengan sokongan teknologi Qualcomm QuickCharge 4.

Namun begitu, Razer Phone 2 mengharapkan penjimatan menerusi proses RAM yang lebih efisien dan kelancaran pemprosesan Snapdragon 845.

Razer Phone 2 dimaklumkan mempunyai pensijilan tahan air IP67 manakala Razer Phone tidak mempunyai sebarang pensijilan.

Buat masa sekarang, Razer Phone 2 dijalankan dengan sistem operasi Android Oreo 8.1 dari kotak tetapi telah dijanjikan dengan kemaskini Android Pie tidak lama lagi.

Razer masih belum menyatakan sebarang kemaskini naik taraf sistem operasi untuk Razer Phone.

Harga

Razer Phone 2 diperkenalkan pada harga $799 (~RM 3324) bagi versi 64GB dan $899 (~RM 3740) untuk 128GB.

Ia merupakan peningkatan $100 berbanding ketika kali pertama memperkenalkan Razer Phone dahulu. Menerusi carian

Bagi pengguna Razer Phone anda mungkin merasakan tidak perlu untuk bertukar kepada yang baru tetapi bagi yang baru berhajat untuk menyambar peranti ini, boleh mempertimbangkan Razer Phone 2.

Sumber rujukan: Android Authority