[Perbandingan] Redmi Note 9 Pro VS realme 6 Pro - 'Pro' Mana Yang Lebih Berbaloi?

Tahun ini, persaingan peranti kelas pertengahan untuk kelas mampu milik menjadi semakin hangat dengan kehadiran model-model berpatutan dari realme dan juga Xiaomi.

Jadi, terdapat dua jenama yang masing-masing telah menghasilkan peranti untuk kelas ini iaitu Redmi Note 9 Pro dan realme 6 Pro. Disebabkan penamaan dan kategori yang sama, untuk artikel ini kami akan membandingkan untuk anda peranti 'Pro' yang mana lebih berbaloi untuk dibeli.


Reka Bentuk / Bahan Binaan


Kedua-duanya mengguna pakai kaedah penghasilan peranti yang sama dengan bahan binaan yang sama, saiz keseluruhan, berat dan rekaan hampir sama.



Kedua-duanya dibina dari kaca pada bahagian belakang dan bingkai plastik. Namun kredit untuk Redmi Note 9 Pro kerana menggunakan kaca jenis Corning Gorilla 5 sedangkan pada realme 6 Pro tidak dinyatakan kaca jenis apa.

Kedua-duanya juga dimuatkan dengan pengimbas cap jari pada bahagian sisi kanan dengan modul pengimbas berbentuk leper panjang. Untuk Note 9 Pro, ia meletakkan butang laras bunyi pada bahagian sisi kanan peranti manakala realme 6 Pro pada bahagian kiri.



Rekaan keseluruhan Redmi Note 9 Pro adalah sedikit besar berbanding realme 6 Pro disebabkan saiz paparan yang sedikit besar. Namun, selain dari itu, boleh dikatakan pengalaman memegang kedua-dua peranti ini adalah sama sahaja.

Paparan


Paparan adalah dimana kedua-dua peranti sedikit berubah haluan dari cabang yang sama. Kedua-duanya dimuatkan dengan panel IPS LCD dan resolusi Full HD+, namun Redmi Note 9 Pro bersaiz sedikit lebih besar dengan saiz 6.67 inci manakala realme 6 Pro pada 6.6 inci.



Dari segi kualiti paparan, Redmi Note 9 Pro mempunyai kecerahan lebih terang. Ini mempunyai impak agak besar terutamanya jika dilihat bawah cahaya matahari yang terang.



Akan tetapi, realme 6 Pro mempunyai kualiti paparan sedikit lebih baik dengan memaparkan warna yang agak jitu. Ia hanya nampak jika dibandingkan sebelah-menyebelah, namun jika dilihat sekadar pada peranti sahaja, anda tidak akan perasan pun.



Seperkara lagi adalah sokongan kadar segar semula 90Hz pada realme 6 Pro yang menjadikan Note 9 Pro yang 60Hz ini kurang kompetitif. Dari segi praktikaliti, ia akan menjadikan pengalaman skrin lebih lancar terutamanya ketika menatal. Namun, tiada lagi sokongan permainan untuk 90Hz menjadikan ciri ini jika tiada pun tidak mengapa.



Kedua-duanya juga menggunakan pendekatan berbeza pada swafoto di mana realme 6 Pro dimuatkan dwi-lensa hadapan dalam bentuk lubang di sisi kiri. Manakala pada Redmi Note 9 Pro pula hanya satu lensa namun ia diletakkan pada bahagian tengah menjadikan paparan lebih kemas.


Prestasi


Kedua-dua peranti menggunakan cip Snapdragon 720G dan juga Adreno 618 jadi anda boleh menjangkakan pengalaman kepenggunaan yang sama baik dari segi seharian ataupun bermain permainan.



Jika adapun perbezaan penggunaan, ia adalah disebabkan saiz RAM yang lebih besar pada realme 6 Pro iaitu 8GB berbanding hanya 6GB sahaja pada Redmi Note 9 Pro.

Ini boleh diterjemahkan dalam penggunaan aplikasi yang banyak pada satu-satu masa namun untuk sekadar kebanyakan pengguna, RAM 6GB hanya mencukupi sahaja.

Kedua-dua peranti memuatkan saiz storan 128GB yang sama dan turut sama menyokong kad microSD. Jadi tiada perbezaan untuk bahagian ini.

Kamera


Sebelum bercakap mengenai kualiti kamera, adalah agak penting untuk membincangkan terlebih dahulu mengenai modul kamera belakangnya.

Kedua-dua realme 6 Pro dan Redmi Note 9 Pro dimuatkan dengan rekaan modul kamera yang sangat berlainan antara satu sama lain. Untuk realme 6 Pro, ia direka melintang secara memanjang ke bawah manakala Redmi Note 9 Pro pula mempunyai modul kamera petak diletakkan di tengah.



Dari segi spesifikasi, kedua-duanya menawarkan konfigurasi 4 kamera. Untuk Redmi Note Pro, ia hadir dengan 64MP utama, 8MP sudut lebar, 5MP makro dan 2MP depth. realme 6 Pro pula dengan 64MP utama, 12MP telefoto, 8MP sudut lebar dan 2MP untuk makro.

Untuk perbandingan kamera utama, boleh dikatakan secara keseluruhan HDR pada realme 6 Pro lebih jitu, namun Redmi Note 9 Pro masih mempunyai kekuatan dengan penghasilan warna yang lebih natural.

Akan tetapi ada masanya, kedua-dua peranti tidak mengikut prinsip ini dan kadang-kadang Redmi Note 9 Pro mempunyai HDR yang lebih menarik.









Sudut lebar

Untuk sudut lebar, realme 6 Pro mempamerkan kepekatan warna yang lebih tinggi sementara Redmi Note 9 Pro lebih kepada seimbang pewarnannya.





Swafoto

Swafoto dilihat lebih memihak kepada Redmi Note 9 Pro yang memperlihatkan warna kulit lebih normal. Dari segi butiran, kedua-duanya boleh dikatakan lebih kurang sahaja. Warna pada realme 6 Pro dilihat kurang menyerlah dengan kontras yang kurang serta white balance yang tidak semenarik Redmi Note 9 Pro





Night Mode

Night Mode boleh dikatakan lebih kurang sahaja. Adakalanya Redmi Note 9 Pro lebih cantik, dan untuk masa yang lain realme 6 Pro lebih menawan.





Mod Potret

Untuk mod potret, kedua-duanya memperlihatkan prestasi bokeh yang cemerlang. Tiada banyak perbezaan sangat yang membuatkan salah satunya lebih menyerlah.




Perisian


Kedua-dua peranti menjalankan Android 10 di bawah pelancar jenama masing-masing iaitu Redmi Note 9 Pro dengan MIUI 12 dan realme 6 Pro dengan realme UI.



Pemilihan sistem operasi antara salah satu dari mereka adalah berdasarkan cita rasa masing-masing. Namun kedua-dua sistem operasi masih lagi kaya dengan fungsi-fungsi menarik seperti tema gelap, perisian pembantu permainan, pilihan untuk navigasi gestur dan juga lain-lain.

Bateri


realme 6 Pro hanya dimuatkan dengan kapasiti bateri 4,300mAh namun Redmi Note 9 Pro jauh lebih besar dengan 5,020mAh. Untuk penggunaan seharian Redmi Note 9 Pro mampu bertahan sedikit lebih lama namun sebagai pendapat, realme 6 Pro itu juga pun sudah cukup lama masa bertahannya untuk sehari.



Antara perbezaan lain adalah sistem pengecasan di mana Redmi Note 9 Pro menawarkan pengecasan sedikit lebih pantas 33W manakala realme 6 Pro pula pada 30W.

Disebabkan kapasiti bateri yang lebih besar itu, Redmi Note 9 Pro mengambil masa sedikit lama untuk mengecas iaitu 1 jam 10 minit. Sedangkan pada realme 6 Pro, ia mengambil hanya sekitar 1 jam sahaja.

Rumusan


Harga untuk Redmi Note 9 Pro adalah pada RM1,099 manakala realme 6 Pro pula RM1,399. Dari segi penawaran, kedua-dua peranti mempunyai kekuatan tersendiri.

Untuk kamera, kami lebih memilih Redmi Note 9 Pro terutamanya bahagian swafoto yang lebih neutral. Skrin agak berbelah bahagi. Walaupun 90hz memang nampak menarik, tetapi secara praktikalnya skrin terang lebih berguna untuk digunakan dalam penggunaan seharian.

Ini juga bergantung kepada keutamaan anda, jika mahu memilih peranti dengan warna dan kadar segar semula lebih bagus, pilih sahaja realme 6 Pro. Namun pada hemat kami skrin Redmi Note 9 Pro masih lagi bagus ditambah lagi dengan kecerahan maksimum yang cemerlang.

Pengecasan dan bateri juga lebih baik untuk Redmi Note 9 Pro dengan kuasa lebih pantas pada masa yang sama kapasiti bateri lebih besar. realme 6 Pro dengan baterinya yang sedikit kecil walau bagaimanapun masih mencukupi disebabkan 4,300mAh itu masih juga besar untuk norma sekarang.

Secara keseluruhan, anda tidaklah hilang banyak fungsi dan ciri jika membeli Redmi Note 9 Pro yang sedikit lebih murah. Namun, jika anda mementingkan kadar segar semula yang lebih tinggi, tiada pilihan lain melainkan realme 6 Pro.