Perbandingan Realme XT VS Samsung Galaxy A70 - Mana Satu Lagi Berbaloi Dibeli?

realme XT yang baru sahaja dilancarkan dijual pada harga yang rendah untuk spesifikasi yang tinggi. Ia dilengkapi sehingga 4 kamera belakang yang menjadi trend popular jenama masa kini.

Dengan penawaran spesifikasi tinggi tersebut, kami ingin melihat perbezaan peranti ini dengan peranti pesaing yang lebih mahal. Untuk itu, kami membandingkan realme XT dengan Samsung Galaxy A70 untuk menilai pembelian yang manakah lebih berbaloi.


Rekaan


Kedua-dua peranti mempunyai rekaan keseluruhan menarik. Akan tetapi, mata yang melihat lebih mudah tertarik dengan rekaan panel belakang realme XT. Dari segi rekaan, kami lebih sukakan genggaman pada realme XT berbanding Galaxy A70. realme XT menawarkan dimensi peranti yang lebih kecil dan tidak terlalu lebar. Untuk Galaxy A70 pula, genggaman tidak sekemas realme XT disebabkan peranti mempunyai saiz yang sedikit besar.

Panel belakang realme XT dilitupi dengan kaca Gorilla Glass 5 dengan pantulan cahaya melengkung. Panel belakang Galaxy A70 pula nampak tenggelam. Ini adalah disebabkan bahan yang digunakan adalah plastik. Walaupun plastik, Galaxy A70 turut mampu mengeluarkan aura tersendiri dengan memantulkan jalur warna pelangi.



Dari segi bahan binaan, ia terpulang kepada cita rasa masing-masing di mana Galaxy A70 lebih lasak dengan bahan binaan plastik berbanding kaca Gorilla Glass 5 yang digunakan pada realme XT. Tetapi untuk perbandingan warna, kami sukakan kemasan warna pada realme XT yang dirasakan lebih menarik berbanding Galaxy A70.

Secara keseluruhannya kami lebih meminati rekaan pada realme XT yang mempunyai dimensi yang lebih kecil ditambah dengan kemasan yang menarik.

Skrin


Kedua-dua peranti dilengkapi dengan skrin AMOLED FHD+ dengan saiz realme XT 6.4 inci manakala Samsung Galaxy A70 6.7 inci. Disebabkan saiz Galaxy A70 agak besar, peranti agak sukar untuk dikendalikan dengan satu tangan terutamanya untuk mencapai bahagian atas. Kualiti skrin dengan panel AMOLED kedua-duanya mempunyai ketajaman dan kualiti warna yang lebih kurang.

Kedua-dua peranti juga mempunyai takuk pada skrin yang menempatkan kamera swafoto. realme XT menggunakan takuk dewdrop manakala Galaxy A70 menggunakan takuk berbentuk 'U' digelar Infinity-U. Selain itu, kedua-dua peranti juga menyokong cap jari dalam skrin jenis optikal yang pantas menyahkunci peranti.



Untuk jenis kaca hadapan yang digunakan, realme XT menggunakan kaca Gorilla Glass 5 manakala Galaxy A70 menggunakan kaca Gorilla Glass 3. Menggunakan versi kaca yang lebih terkini, realme XT secara teorinya mampu menahan calaran dan hentakan yang lebih baik berbanding Galaxy A70.

Prestasi


realme XT dijana oleh cip pemprosesan Snapdragon 712 (10nm) yang lebih berkuasa dibandingkan dengan Snapdragon 675 (11nm)pada Samsung Galaxy A70. Selain itu cip pada realme XT juga lebih efisien dari segi pengendalian haba berbanding Galaxy A70. Bahagian pemprosesan grafik juga berbeza di mana Adreno 616 pada realme XT lebih berkuasa berbanding Adreno 612 pada Galaxy A70.

RAM yang diperuntukkan untuk kedua-dua peranti adalah sama iaitu sebanyak 8GB. Untuk perbandingan prestasi keseluruhan, realme XT menang mudah dengan penawaran cip pemprosesan yang lebih berkuasa berbanding Galaxy A70.

Kamera


realme XT dilengkapi dengan 4 kamera (64MP utama + 8MP ultralebar + 2MP lensa makro + 2MP depth) manakala Galaxy A70 dilengkapi dengan 3 kamera (32MP utama + 8MP ultralebar + 5MP depth). Walaupun realme XT dilihat mempunyai satu lebihan kamera, melalui penggunaan, kamera makro tersebut bukannya sesuatu yang dirindukan jika tidak digunakan.

Untuk kamera utama, kami mendapati hasil imej pada Galaxy A70 lebih menyinar dengan julat dinamik dan kontras yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, realme XT juga sangat baik dengan gambar yang lebih terang.



 

Terdapat perbezaan white balance antara kedua-dua peranti. Namun warna pada Galaxy A70 lebih tepat dengan warna sebenar subjek.



 

Untuk lensa ultralebar, Galaxy A70 dilihat mempunyai hasil imej dengan kesan fish-eye lens. Struktur imej kelihatan senget. Untuk realme XT pula hasil gambar masih lagi tegak.



 



 

Untuk kamera swafoto pula, terdapat kekurangan pada kedua-dua realme XT dan Galaxy A70. Hasil imej swafoto pada realme XT nampak lebih baik dengan warna dan kontras yang mencukupi, namun jika dilihat dengan lebih dekat, gambar mempunyai kesan oversharpening yang agak melampau. Galaxy A70 pula menawarkan kualiti swafoto yang lebih bersahaja namun warna sangat lain daripada realiti hinggakan warna baju bertukar menjadi merah jambu.



 

realme XT juga mempunyai lensa makro yang boleh mengambil subjek dengan jarak yang sangat dekat.


Bateri


Untuk bateri, Galaxy A70 mempunyai kapasiti yang lebih besar sebanyak 4,500mAh berbanding dengan realme XT yang hanya sebesar 4,000mAh. Samsung juga bersifat pemurah dengan memberikan pengecasan pantas 25W yang sedikit lebih pantas berbanding realme XT yang mempunyai 20W. Pengecasan pantas 25W Samsung adalah berdasarkan teknologi USB Power Delivery sementara 20W realme XT pulah adalah berasaskan teknologi VOOC 3.0.

Dari segi penggunaan, anda boleh menggunakan Samsung A70 sedikit lama berbanding realme XT disebabkan bateri yang lebih besar dan juga cip yang kurang mengeluarkan tenaga. Akan tetapi, dari segi kebiasaan norma penggunaan, 4,000mAh pada realme XT itupun sudah cukup mencukupi.

Untuk aspek bateri, Samsung Galaxy A70 lebih menyerlah dengan penawaran yang lebih menarik dengan bateri yang lebih besar dan pengecasan pantas yang lebih laju.

Ringkasan Perbandingan



Kesimpulan


Harga kedua-dua peranti ini dikira agak besar dengan realme XT dijual pada harga RM1399 manakala Samsung Galaxy A70 pada harga RM1799. Secara keseluruhan dari segi berbaloinya pembelian, realme XT lebih dilihat berbaloi jika anda menginginkan prestasi terbaik. Dari segi kamera, anda mendapat variasi kamera yang lebih fleksibel dengan penambahan lensa makro. Tambahan lagi, binaan realme XT lebih premium dengan panel belakang kaca dan juga dimensi yang lebih kecil menjadikan genggaman dan pengendalian lebih selesa.

Namun, jika anda menginginkan kualiti kamera utama yang lebih cantik serta penggunaan hayat bateri yang lebih panjang, Galaxy A70 lebih sesuai untuk dibeli. Apa-apapun, terpulang kepada penggunaan seharian anda. Kami telah mencuba kedua-dua peranti ini dan memberikan pendapat setelah mencubanya. Dengan harga yang lebih murah, kami merasakan realme XT merupakan pembelian yang lebih berbaloi berbanding Galaxy A70.