Peranti Xiaomi Dilaporkan Mempunyai Kelemahan Pada Aplikasi Sekuriti Dan Pelayar Internet

Aplikasi sekuriti yang disediakan pada peranti, seharusnya berfungsi melindungi peranti tetapi perkara yang sebaliknya terjadi pada Xiaomi.

Menurut penyelidik sekuriti dari Check Point, Slava Makkaveev, aplikasi Guard Provider, mempunyai kelemahan sekuriti yang boleh mendedahkan peranti kepada serangan Man-in-the-Middle (MiTM).

Makkaveev menyatakan, oleh kerana sambungan rangkaian trafik pada Guard Provider tidak selamat, pengodam yang berada pada rangkaian WiFi sama dengan mangsa, berupaya memasang sebarang malware pada peranti yang disasarkan.

Perkara ini telahpun dilaporkan kepada Xiaomi dan isu tersebut sudah diperbaiki menerusi kemaskini sekuriti oleh syarikat itu.

Minggu lalu juga, terdapat laporan menyatakan pelayar internet yang siap terpasang pada peranti Xiaomi, Mi Browser dan Mint Browser, juga mempunyai kelemahan sekuriti.

Laman web berniat jahat dikatakan mampu mengawal URL yang dipaparkan sepertimana yang dikesan oleh penyelidik sekuriti, Arif Khan.

Pengodam mampu memperdaya pengguna untuk mempercayai mereka mengunjungi laman web yang selamat, tetapi realitinya mereka dihalakan ke laman web yang berpotensi mencuri data pengguna.

Kelemahan sekuriti ini juga hanya melibatkan peranti versi global sahaja,manakala versi China tidak terkesan dan ini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pengguna. Pengguna dinasihatkan supaya mengelak dari menggunakan kedua-dua pelayar diatas sehingga masalah tersebut diatasi sepenuhnya.

Sumber: CheckPoint dan Gadgets 360