Peranti Pintar Milik Pengguna Ini Meletup Ketika Dicas

Baru-baru ini seorang pengguna pintar di Malaysia menyaksikan sendiri peranti pintar yang digunakan meletup ketika dicas. Video yang memperlihatkan sebuah peranti berasap itu telah dikongsi oleh seorang pengguna Twitter @farishafadzleen.

Perkara pertama yang terlintas sebaik sahaja saya melihat video tersebut adalah meneliti apakah jenis peranti pintar yang digunakan. Dengan hanya melihat logo pada bahagian atas peranti, ia jelas sebuah peranti pintar jenama Asus walau bagaimanapun model spesifiknya tidak dapat dipastikan.

https://twitter.com/farishafadzleen/status/1256962384557510656

Pemilik video ini juga tidak pasti apakah model peranti pintar Asus itu kerana ia milik datuknya. Tambahan lagi ia merupakan model Asus dari tahun-tahun yang lama. Jika anda peminat gajet tegar, mungkin anda boleh meneka model peranti pintar ia mungkin dari era Zenfone 4 atau 5 dari tahun 2014 hanya dengan mengamati butang navigasi klasik pada bahagian bawah peranti.

Beliau walau bagaimanapun tidak berkongsi dengan lebih terperinci bagaimana situasi ini boleh terjadi. Apa yang diceritakan hanyalah peranti tersebut meletup ketika dicas dan kebetulan beliau berada di tempat kejadian untuk merakamnya.

Difahamkan tiada kejadian tidak diingini berlaku dan datuknya juga sudah mendapat peranti pintar menggantikan model Asus tersebut.

https://twitter.com/farishafadzleen/status/1257309316257730561

Walaupun kejadian ini dianggap sangat terpencil namun sudah tentu ia menimbulkan sedikit 'trauma' kepada pemilik video dan juga orang lain yang menonton video tersebut. Jadi, bagaimana untuk mengelakkan masalah ini dari terjadi?

Terdapat beberapa langkah yang anda perlu patuhi, namun apa yang penting adalah anda perlu pantau dengan teliti suhu peranti. Jika peranti terasa panas yang tidak normal, jangan terus cas peranti. Tutup dahulu dan biarkan suhunya kembali normal untuk seketika. Langkah-langkah lain termasuklah:

  • Pantau keupayaan bateri. Jika bateri mati secara tiba-tiba pada paras yang masih lagi banyak untuk digunakan, ini petanda bateri sudah tidak mampu beroperasi pada tahap optimum. Tindakan bijak adalah tukar bateri yang baharu di kedai yang sah untuk mengelakkan masalah tidak diingini berlaku.

  • Gunakan pengecas dan kabel yang asli. Alat elektronik yang tidak asli kebanyakannya tidak melalui proses ujian yang ketat jadi ia mungkin tidak selasak dan setahan yang asli.

  • Gunakan pengecas dan kabel yang betul. Walaupun pengecas dan kabel adalah asli, namun sebaik-baiknya gunakan dari yang disediakan dalam kotak bukannya dari jenama lain. Ini adalah untuk mengelakkan isu komponen tidak mesra disambungkan antara satu sama lain.

  • Pengguna boleh menggunakan peranti ketika mengecas, tetapi adalah lebih baik jika membiarkannya mengecas sehingga penuh. Ini adalah kerana kita tidak mahu peranti menjadi panas disebabkan perlakuan tersebut yang seterusnya merosakkan bateri dalam jangka masa panjang.