Peranti Perdana Xiaomi, Mi 7 Berkemungkinan Diperkenalkan Pada 23 Mei Ini

Selepas baru sahaja mengumumkan berkenaan pelancaran peranti Mi 6X di China bulan lalu, syarikat telekomunikasi yang berpangkalan di negara Tembok Besar itu kini diberitakan akan melancarkan peranti perdana terbaru mereka pula, Xiaomi Mi 7. Dan menurut satu poster yang tertiris di Internet, peranti tersebut bakal diperkenalkan kepada umum pada 23 Mei ini.



Melihat kepada imej poster tersebut, ia mengandungi satu imej angka 7 yang menguatkan lagi ura-ura tentang perkara ini. Sebelum ini, menurut laporan akhbar India, First Post , Xiaomi merancang untuk melancarkan peranti Mi 7 ini pada suku pertama tahun ini, namun mungkin ada beberapa sebab mengapa ia terpaksa ditangguhkan sehingga ke hari ini.

Walaubagaimapun, menurut GSMArena, poster berkenaan masih menjadi tanda tanya kerana setakat ini poster berkenaan cuma tersebar di laman Weibo sahaja dan tidak disiarkan di mana-mana akaun rasmi yang terlibat secara langsung dengan syarikat Xiaomi. Untuk rekod, peranti Xiaomi Mi 6 telah diperkenalkan pada bulan April tahun lalu dan setelah lebih setahun, tidak mustahil peranti Mi seterusnya akan keluar dalam masa terdekat.
*imej tidak rasmi

Menurut GSMArena lagi, peranti ini berkemungkinan besar akan menggunakan cip pemprosesan keluaran Qualcomm, Snapdragon 845 dan disokong oleh memori sehingga 8GB RAM. Tambahan pula, jika menurut kepada imej tertiris, peranti ini turut tidak ketinggalan untuk menggunakan reka bentuk takuk pada paparan skrinnya.

Bagi peminat peranti keluaran Xiaomi, anda boleh mengikuti laman sesawang Xiaomi Malaysia atau Facebook mereka untuk info terkini berkenaan peranti Xiaomi Mi 7 ini.

Sumber