Peranti OnePlus 6 Dilancarkan Pada Pertengahan Bulan Mei di China dan London

Syarikat telekomunikasi China yang berpengkalan di Shenzen, OnePlus akhirnya mengumumkan bahawa peranti terbaru mereka OnePlus 6 bakal dilancarkan pada pertengahan bulan hadapan. Sebelum ini, beberapa maklumat berkenaan peranti ini telah dikeluarkan oleh pihak OnePlus tetapi tarikh pelancarannya hanya diketahui pada minggu ini. Peranti OnePlus ini akan diperkenalkan kepada umum pada 16 Mei ini di London manakala majlis pelancarannya di China pula bakal diadakan pada keesokkan harinya iaitu 17 Mei.





Seperti sedia maklum, majoriti peranti Android pada tahun ini telah menggunapakai reka bentuk takuk pada skrin hadapan mereka, dan OnePlus 6 juga tidak terlepas daripada gaya terkini tersebut. Selain daripada itu, pihak OnePlus juga mengesahkan bahawa peranti terbaru mereka ini merupakan sebuah peranti kalis air selain mempunyai kerangka kaca bagi menyerlahkan lagi kecantikan peranti tersebut.

OnePlus menjanjikan sebuah peranti yang pantas apabila mereka menggunakan slogan kata 'The Speed You Need' pada poster promosi untuk OnePlus 6 ini. Dan jika menurut spesifikasi yang telah dilaporkan, tidak salah untuk pihak mereka menggunakan slogan tersebut. Dengan sokongan cip pemproses dari Qualcomm, Snapdragon 845 serta memori sebesar 8GB RAM sepatutnya peranti ini dapat memberikan pengalaman penggunaan yang pantas dan lancar walaupun dalam multi-tugas.

Beberapa orang individu bertuah telah dipilih oleh pihak OnePlus untuk melihat dan memegang peranti OnePlus 6 ini sendiri dan anda boleh tonton video di bawah untuk melihat sendiri reaksi mereka.

 

https://youtu.be/YRZY61DlOxk

Kita sudah boleh membayangkan bagaimana menariknya rupa bentuk peranti OnePlus 6 ini dengan melihat daripada reaksi keterujaan mereka. Walaupun imej peranti ini dikaburkan, dapat dilihat pada belakang peranti di mana kedudukan kamera utama peranti ini adalah di bahagian tengah. Selain itu, kemungkinan besar peranti ini akan mempunyai tiga pilihan warna iaitu putih, hitam dan satu lagi warna yang tidak dapat dipastikan sama ada biru atau ungu gelap.



Sebelum ini, pihak OnePlus juga mengesahkan bahawa mereka akan megeluarkan versi edisi terhad Avengers namun agak mengecewakan kerana versi tersebut adalah eksklusif untuk pasaran India sahaja. Kita mungkin akan dapat mendengar berkenaan harga yang ditawarkan oleh OnePlus untuk peranti ini selepas majlis pelancaran tersebut.

Sumber