Amerika Syarikat sekat Huawei dari mendapatkan cip pemprosesan

Pertengahan Mei yang lalu kemelut antara Huawei dan Amerika Syarikat sekali lagi hangat diperkatakan. Ia berpunca apabila Jabatan Perdagangan A.S memulakan langkah untuk menyekat pembuat cip dari membekalkan komponen itu kepada Huawei.

Melalui peraturan baru yang dipinda itu, mana-mana syarikat semikonduktor yang menggunakan teknologi A.S perlu mendapatkan lesen sebelum berurus niaga dengan Huawei.

Antara pembekal yang terkesan dengan peraturan itu adalah TSMC yang membangunkan cip kelas atasan untuk Huawei, WIN Semiconductor yang mereka bentuk cip frekuensi radio, dan Samsung Electronic yang membekalkan memori serta storan untuk gergasi telefon pintar dari China itu.

Amerika Syarikat masih membenarkan cip yang sedang dalam pengeluaran dibekalkan kepada Huawei selagi tidak melebihi tarikh 14 September 2020. Tempoh itu mungkin sudah cukup untuk menghasilkan cip Kirin 1020 5nm bagi dilengkapkan pada siri Mate 40, tetapi timbul persoalan bagaimana nasib peranti flagship Huawei untuk keluaran tahun 2021.

IKLAN
Huawei bekerjasama dengan SMIC

Huawei dilaporkan sudah mula beralih kepada SMIC, syarikat pembuat cip terbesar di China. Namun SMIC ketika ini hanya berupaya membangunkan cip 14nm dan Kirin 710A merupakan cip pemproses kelas pertengahan pertama hasil kerjasama itu.

SMIC dikatakan sedang berusaha untuk membangunkan cip dengan proses 7nm dan 8nm tetapi terdapat kekangan dari segi perkakasan litografi, dimana ia berfungsi sebagai penanda kedudukan transistor.

Mungkin siri P50 dan Mate 50 akan guna cip Snapdragon

Terbaru, menurut penganalisis daripada KeyBanc Capital Markets, John Vinh, Qualcomm mungkin membekalkan cip mereka kepada Huawei untuk barisan telefon pintar flagship seperti siri P50 dan Mate 50 tahun hadapan.

Sudah semestinya lesen diperlukan dan Vinh yakin ia akan diluluskan selain Qualcomm boleh membuat perjanjian lesen paten dengan Huawei. Dinyatakan juga Qualcomm sebelum ini berusaha untuk menjual cip model 5G mereka kepada Huawei.

Vinh berpendapat jika Qualcomm dibenarkan berurusan dengan Huawei, ia akan menguntungkan Amerika Syarikat. “Banyak sekatan yang berlaku terhadap Huawei dirancang untuk melindungi ancaman keselamatan negara yang ditimbulkan oleh komunikasi 5G / infrastruktur rangkaian dan aplikasi ketenteraan, namun kami tidak percaya telefon pintar pengguna menjadi sasaran.” ujar Vinh yang dipetik dari laporan Phone Arena.

Sekiranya Qualcomm tidak dibenarkan bekerjasama dengan Huawei, ia tidak menjadi masalah kerana mereka masih boleh membekalkannya kepada Xiaomi, OPPO dan vivo. Ketiga-tiga jenama ini pastinya mahu merapatkan jurang dengan Huawei.

Sumber: Phone Arena