Peranti DIZO Rasmi Buat Pasaran Tempatan, Harga Murah

Pada Mei yang lalu, DIZO diperkenalkan yang mana ia adalah sebuah sub-jenama di bawah naungan realme, khusus untuk produk-produk AIoT.

Kini, dua produk bagi jenama itu secara rasminya memasuki pasaran Malaysia, iaitu jam pintar DIZO Watch dan fon telinga tanpa wayar DIZO GoPods D.

DIZO Watch




Jam pintar ini tampil dengan skrin 2.5D bersaiz 1.4 inci dengan resolusi 320x320 dan kadar kecerahan 600 nits. Selain hadir lebih daripada 90 mod sukan, ia turut dilengkapi bacaan kadar degupan jantung dan sensor pemantauan oksigen darah.

Ciri kecergasan lain termasuk perekod tidur, peringatan tidak aktif dan peringatan untuk minum air. DIZO Watch juga mempunyai pensijilan IP68 dan mampu digunakan dalam air pada kedalaman sehingga 1.5m.

Dengan rangka aluminium, ia juga menawarkan pilihan lebih daripada 100 muka jam (face watch) yang boleh disesuaikan mengikut citarasa masing-masing.

Tambahan lagi, jam pintar ini turut mempunyai ciri asas lain seperti kawalan muzik, kawalan kamera, notifikasi panggilan dan mesej serta mengawal peranti AIoT pintar.

Di dalamnya terdapat bateri berkapasiti 315mAh dan sambungan Bluetooth 5.0 dan dikatakan mampu mencapai jangka hayat bateri sehingga 12 hari.

DIZO GoPods D




Fon telinga tanpa wayar ini menampilkan reka bentuk yang kompak. Ia dilengkapi pemacu 10mm yang dilengkapi Bass Boost+ dan menawarkan pendengaran muzik sehingga 5 jam dengan pengecasan penuh dan tambahan 20 jam lagi dengan bekas simpanan.

Selain itu, dengan 10 minit pengecasan pantas, ia juga dapat memberikan 120 minit waktu pendengaran muzik. Antara lainnya, Bluetooth 5.0, mengurangkan kadar latensi hingga 110ms serta pensijilan IPX4 kalis peluh.

Harga Jualan




DIZO Watch diletakkan pada tanda harga RM199 dan ditawarkan dalam pilihan warna Carbon Black. Sementara DIZO GoPods D pula berharga RM89 dengan pilihan warna hitam dan putih.

Bersempena kehadirannya, DIZO Malaysia menawarkan promosi terhad dimana pembeli dapat menerima DIZO GoPods D secara percuma dengan setiap pembelian DIZO Watch bermula 16 hingga 25 Julai 2021 melalui kedai rasmi DIZO Malaysia di Shopee.

Sumber: Siaran Akhbar DIZO

Baca juga - realme Perluas Ekosistem Dengan Umum Sub-Jenama DIZO

Baca juga - DIZO Mengacah Telefon Bimbit Pertama, Dilengkapi Modul Kamera Bulat