Peranti Dengan Kamera 108MP Mungkin Hadir Tahun Hadapan

Pada Mac yang lepas, Pengarah Kanan Pengurusan Produk Qualcomm ada menyatakan pengeluar telefon pintar sedang dalam usaha menghadirkan peranti dilengkapi dengan kamera 64MP serta 100MP+.

Dua bulan kemudiannya, Samsung tampil mengumumkan sensor kamera 64MP ISOCELL Bright GW1 dan keupayaannya telah dipertontonkan oleh Realme. Laporan Credit Suisse yang turut diterbitkan pada Mac lepas juga ada menjangkakan kehadiran dua sensor, 65MP diperkenalkan pada 2019 dan sensor kamera 108MP pada 2020. Ketika ini kita sudah melihat kamera 64MP dan masih menanti sebuah lagi sensor yang sudah pasti akan menjadi kegilaan ramai.

Perkara ini menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat, siapakah yang akan menghasilkan sensor dengan resolusi tersebut, sama ada Samsung atau pesaingnya, Sony.

Buat masa sekarang, belum ada syarikat-syarikat pengeluar sensor yang mengumumkan penghasilan sensor 100MP bagi peranti mudah alih. Jika ramalan daripada laporan-laporan ini tepat, kita boleh menjangkakan perkhabarannya menjelang akhir tahun ini.

Sumber: GSMArena dan @UniverseIce