Peranti Android Go Pertama Huawei Bakal Dilancarkan di Bawah Siri Huawei Y

Pada awal minggu ini, HMD Global baru sahaja melancarkan peranti yang menggunakan Android Go pertama mereka, Nokia 1. Hari ini, syarikat Huawei pula telah mengumumkan berkenaan peranti terbaru mereka yang akan menggunakan sistem operasi Android Go. Menurut laporan GizmoChina, peranti tersebut adalah salah satu peranti di bawah siri Huawei Y.


Menurut Zhao Likun (Pengurus Besar untuk Kumpulan Perniagaan Pengguna Afrika Selatan Huawei), peranti terbaru Huawei itu akan dilancarkan pada bulan Mei ini di Afrika Selatan. Kenyataan ini bertepatan dengan pengumuman yang dibuat oleh Huawei pada awal tahun ini berkenaan peranti Android Go pertama mereka yang akan dilancarkan pada separuh pertama tahun ini.


Berkenaan dengan spesifikasi peranti tersebut, Zhao berkata ia berkemungkinan besar hadir dengan memori 1 GB RAM dan 16 GB kapasiti simpanan. Ini bersesuaian dengan fungsi utama sistem Android Go yang dibangunkan khas untuk kegunaan aplikasi ringan. Huawei berharap agar peranti ini dapat bertahan dengan baik sehingga sekurang-kurangnya dua tahun.



Google pada awal tahun ini telah mengumumkan berkenaan sistem operasi Android Go yang dibangunkan bertujuan untuk menyokong telefon pintar yang mempunyai memori bersaiz 512 MB atau 1 GB. Bagi mengoptimumkan penggunaan peranti yang menggunakan sistem operasi ini, Google juga telah mengetengah pelbagai aplikasi versi 'lite' seperti Facebook Lite, Youtube Go, Maps Go dan sebagainya.


Ikuti perkembangan terbaru mengenai peranti ini serta tarikh pelancarannya untuk pasaran Malaysia di Facebook rasmi Huawei Malaysia.


Sumber