IPOH, 6 Nov (Bernama) -- Kerajaan Perak bercadang mewujudkan Arena Sukan Elektronik (E-Sukan) bertaraf antarabangsa bagi menggalakkan anak muda menyertai industri berkenaan yang kian berkembang di peringkat global.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Howard Lee Chuan How berkata pihaknya sedang mengenal pasti lokasi sesuai bagi membangunkan arena tersebut termasuk di Meru berikutan kawasan berkenaan dikategorikan sebagai ‘hotspot’ anak muda.
“Terdapat beberapa lagi lokasi yang sesuai, namun begitu, kita masih lagi melihat beberapa sudut dari segi infrastruktur yang bersesuaian untuk sukan elektronik ini.
“Bukan itu sahaja, kita perlu melihat kepentingan jaringan jalur lebar yang laju di lokasi berkenaan bagi menampung keperluan permainan sukan tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau mengulas peruntukan RM10 juta untuk membangun dan menggalakkan E-Sukan sebagai aktiviti dan industri diminati generasi muda yang melibatkan jurutera perisian dan pemaju permainan digital yang diumumkan dalam Belanjawan 2019.
Lee berkata beliau sangat teruja dengan usaha kerajaan memartabatkan E-Sukan setanding dengan negara maju dan bagi Perak, beliau menyeru pengusaha kafe siber atau pusat komputer untuk menjadi pusat sukan elektronik berlesen bagi mengembangkan bidang berkenaan.
Katanya Majlis Sukan Elektronik Negeri sedang merangka satu akta berlandaskan garis panduan yang ditetapkan untuk pusat sukan elektronik tersebut bagi membantu menjaga kebajikan atlet dan peserta serta pusat itu sendiri.
Beliau berkata Perak merancang menganjurkan Persidangan E-Sukan pada Januari tahun depan bagi mengetengahkan lagi sukan berkenaan dalam kalangan generasi muda di Perak.
Kejohanan E-Sukan juga akan diadakan di setiap daerah di seluruh negeri melalui Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) bermula tahun hadapan selain akan melantik beberapa atlet anak jati Perak sebagai duta E-Sukan, katanya.
Sementara itu, peminat permainan video, Zulkarnain Salim, 27, berkata pewujudan Arena E-Sukan di Perak adalah langkah terbaik dalam menyemarakkan lagi semangat anak muda untuk terlibat dalam sukan tersebut.
Zulkarnain yang pernah menyertai beberapa pertandingan permainan video termasuk Selangor Cyber Games beberapa tahun lepas, berkata Arena E-Sukan berpotensi melahirkan ramai pemain dan usahawan permainan video sekali gus dapat mengharumkan nama negara serta mengelak Malaysia ketinggalan dalam perkembangan industri teknologi berkenaan di dunia.
“Arena E-Sukan boleh membawa nama Perak sebagai salah satu negeri berteknologi tinggi selain membawa peserta dari dalam dan luar negara untuk melihat sendiri arena tersebut setanding dengan negara maju yang lain,” katanya yang meminati permainan video Dota.
Bagi Muhammad Adzam Muhammed Adnan, 27, sekiranya kejohanan E-Sukan diadakan di setiap daerah menjadi kenyataan, ia akan menjadi satu titik permulaan buat anak muda Perak untuk menonjolkan bakat dan menempa nama di peringkat antarabangsa.
“Lagi pun E-Sukan tidak tertakluk kepada had umur dan saya mencadangkan agar kejohanan tersebut dapat diadakan bagi semua peringkat umur dan mereka berpeluang mencipta nama dalam bidang ini serta membuka peluang kerjaya berasaskan teknologi,” kata jurutera mekanikal itu yang menetap di Kampung Bahagia, Teluk Intan.
-- BERNAMA
Sumber gambar utama: e-sport marketing blog
Berkaitan
- Peruntukan Sebanyak RM400,000 Akan Diberi Kerajaan Negeri Selangor Bagi Pembangunan E-Sukan
- XPAX Kejohanan E-Sukan Kampus Dilancarkan, Medan Pertarungan Pasukan IPT Bagi Merebut RM180,000
- Tiada Lagi Perakuan SIRIM Untuk Peranti 3G Dan 4G Yang Tiada Sokongan VoLTE Bermula 2021
- Kenapa PUBG Dan Fortnite Tidak Tersenarai Dalam Acara e-Sport Sukan Asia Di Indonesia? Ini Alasannya
- Kotak TV Android Yang Tidak Diperakui Antara Peranti Yang Dirampas SKMM
- Ibu Pejabat Razer Di Malaysia Kini Rasmi, Bakal Kembangkan Razer Pay Dan Arena E-Sukan Tempatan
- Kementerian Belia dan Sukan Bakal Wujudkan Liga E-Sukan
- Ujian Rintis Teknologi 5G Di Perak Bakal Bermula Julai Depan
- Sebanyak 274 Unit Android Box Tidak Diperakui Dirampas SKMM
- Taiwan Excellence e-Sport Cup 2019 Mahu Cungkil Bakat Pemain Tempatan