Pepijat Windows 10 Menyebabkan Beberapa Model Komputer Riba Dell, Lenovo Dan Asus Beroperasi Terlebih Panas

Isu ini dipercayai berpunca daripada ciri "Modern Standby".


Jika anda memiliki beberapa model komputer riba tertentu daripada Dell, Lenovo atau Asus, anda mungkin akan mendapati beberapa hari kebelakangan ini, komputer riba itu lebih panas daripada biasa berbanding sebelum ini.

Isu komputer riba anda menjadi terlebih panas itu akan berlaku apabila pengguna menetapkan komputer tersebut ke dalam mod tidur (Sleep) ataupun dalam mod hibernisasi (Hibernation).

Sekaligus menyebabkan bateri komputer mereka lebih cepat habis dari biasa. Menurut laman Notebook Check, isu ini dipercayai ada kena mengena dengan ciri mod Sleep yang diperkenalkan Microsoft dalam Windows 10 pada tahun 2017 dulu yang dikenali sebagai "Modern Standby".

Setakat ini, laman Notebook Check menguji 3 model komputer riba yang terkesan dengan isu ini iaitu Dell XPS 15 7590, Asus ZenBook 15 dan Lenovo IdeaPad S740 15.

Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna model komputer riba lain yang menyokong ciri Modern Standby tidak terkesan dengan isu ini.

Malah isu ini juga bukanlah kali pertama berlaku kepada pengguna komputer riba dengan sistem Windows 10.

Secara asasnya, Modern Standby adalah ciri mod Sleep yang sedia ada pada semua sistem Windows 10. Tetapi ciri Modern Standby hanya disokong oleh komputer yang dilengkapi dengan perkakasan komputer tertentu sahaja.

Ia direka dengan tujuan bagi memanjangkat hayat bateri dan membolehkan pengguna mengaktifkan komputer mereka dengan segera.

"Modern Standby consists of multiple hardware and software power modes, all of which occur with the screen turned off. The complexity of modern connected standby is a result of keeping the system alive to process background tasks, while ensuring that the system stays quiet enough to achieve long battery life." Microsoft

Jadi, kepada pengguna komputer riba yang terjejas, anda boleh menyemak kemas kini dengan merujuk kepada pengeluar komputer riba tersebut bagi memperbetulkan isu pepijat ini.

Kemaskini - Lenovo Malaysia telah menghubungi kami yang mana mereka menyatakan;“Lenovo is working with Microsoft to understand the issue that has been reported and will work together to address it as soon as possible.”