Penyelidik Guna Virus Untuk Atasi Masalah Komputer Perlahan

Virus dan komputer, dua perkataan ini paling tidak digemari apabila diletakkan bersama kerana ia akan membawa masalah kepada pengguna.

Berbeza pula dengan virus yang digunakan sekumpulan penyelidik dari Massachusetts Institute of Technology (MIT)  dan Singapore University.

Penyelidik-penyelidik tersebut telah membangunkan satu kaedah baru untuk menghasilkan phase-change memory menggunakan sejenis virus biologi yang dipanggil sebagai M13 bacteriophage.

Phase-change memory  yang dibangunkan itu dilapor mampu menyelesaikan masalah perlahan ketika menghantar serta menyimpan data diantara RAM dan cakera keras (hard drive).

Ia juga dikatakan mempunyai kelajuan yang sama dengan RAM dan menawarkan kapasiti storan yang lebih besar daripada cakera keras sedia ada.

Namun begitu, terdapat halangan untuk menghasilkannya dengan bahan-bahan lain dan justeru itu, penyelidik menggunakan virus biologi M13 bacteriophage untuk digunakan dalam proses penghasilan wayar halus.

Penyelidik berpendapat penemuan kaedah baru ini dapat mengatasi kelewatan ketika proses menghantar serta menyimpan data dalam memori.

Ia merupakan satu perkembangan menarik untuk dinantikan dan walaupun kita merasakan sistem memori sedia ada sudah laju, masih terdapat ruang untuk diperkemaskan yang mampu mengatasi kelewatan beberapa millisaat.

Sumber: ACS Publication via FossBytes