Pentadbiran Trump Bincang Dengan Pengeluar Cip Untuk Bina Kilang Di A.S

Kerajaan Amerika Syarikat kini sedang mengadakan perbincangan dengan syarikat semikonduktor untuk membina kilang di dalam negara tersebut, sepertimana yang dilaporkan oleh Reuters.

Perbincangan tersebut dikatakan melibatkan dua syarikat pembuat cip iaitu Intel Corp dan TSMC. Menurut jurucakap Intel kepada Reuters, mereka berada dalam keadaan baik untuk bekerjasama dengan kerajaan AS mengenai perkara tersebut.

Sementara itu, TSMC menerusi jurucakapnya pula menyatakan tiada kata putus lagi dibuat syarikat dan Jabatan Perdagangan AS tentang pembinaan kilang di Amerika Syarikat. Dikatakan juga, TSMC masih menilai lokasi sesuai termasuklah di Amerika Syarikat tetapi tiada perancangan kukuh mengenainya buat masa ini.

Terdahulu, CEO Intel, Bob Swan ada mengutus surat kepada Jabatan Pertahanan AS pada lewat Mac lalu yang menyatakan kesediaan mereka untuk membina kilang pembuatan cip di dalam negara itu dengan kerjasama Pentagon.

Hal ini timbul selepas ketegangan antara AS dan China semakin memuncak, lebih-lebih lagi semasa penularan wabak Covid-19.

Selain itu, pegawai pentadbiran Trump juga mahu membantu operasi pengeluaran Samsung yang mana kilang pembuatan cip mereka kini berada di Austin, Texas.

Sumber: Reuters