Penilaian DxOMark Kamera Pixel 2 Kalahkan iPhone 8 Plus Dan Galaxy Note 8

Berdasarkan penilaian DxOMark, telefon generasi kedua Google, Pixel 2 dilengkapi dengan kamera yang lebih bagus menewaskan iPhone 8 Plus dan Samsung Galaxy Note 8.

DxOMark bertindak sebagai pengulas untuk sistem kamera telah menjalankan ujian terhadap peranti Pixel 2 dengan menguji sejumlah 1500 imej dan video berdurasi 2 jam. Hasil ujian tersebut telah melayakkan Pixel 2 mendapat 98 markah, sekaligus meninggalkan iPhone 8 Plus dan Galaxy Note 8 yang terikat di tangga kedua dengan 94 markah.

Buat pengetahuan anda, Pixel 2 hanya tampil dengan satu lensa kamera sahaja, tidak seperti iPhone 8 Plus dan Galaxy Note 8 yang mempunyai dwin lensa kamera.

Menurut DxOMark lagi, Pixel 2 dan Pixel 2 XL mempunyai keupayaan autofokus yang "terbaik", dan keseimbangan putih yang "sangat bagus", menjadikannya kamera peranti terbaik dipasaran setakat ini. Walaubagaimanapun masih terdapat kekurangan seperti masalah suar, berkilau dan beberapa butiran hilang apabila zoom digunakan.

Bagi iPhone 8 Plus, ia mempunyai kesan "bokeh" yang terbaik tetapi sedikit bermasalah pada autofokus.

Sementara itu, Galaxy Note 8 pula cemerlang dari segi fungsi zoom dimana ia berkebolehan untuk 4 kali zoom dengan gangguan (noise) yang rendah. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan autofokus yang pantas dan ketepatan dari segi kecerahan dan warna yang terang. Kekurangan kamera Note 8 adalah efek bokeh yang kadang kala tidak kelihatan walaupun fungsi itu sudah dihidupkan.