Penggunaan Dron Perlu Ada Kawalan- KDN

Timbalan Menteri, Datuk Nur Jazlan baru-baru ini berkata, penggunaan dron bukan sahaja boleh digunakan untuk menjejaki dan mengenalpasti kegiatan orang awam, malah ianya juga turut akan mendedahkan kepada pengintipan.

"Jadi perlu ada kawalan, regulasi terhadap penggunaan dron. Cuma masalahnya dron ini di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan" ujarnya lagi.

Nur Jazlan berkata Kementerian Dalam Negeri akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan berkenaan penggunaan dron yang dilihat akan menjejaskan privasi orang awam.



"Kita akan berbincang dengan Kementerian Pengangkutan mengenai regulasi terhadap dron atau alat yang boleh terbang dengan berat lebih 25kg yang dilesenkan oleh Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Penerbangan Awam(DCA)" tambahnya lagi.

Beliau berkata pada ketika ini masih tiada undang-undang khusus berkaitan pengintipan menggunakan dron kerana pada beliau ianya merupakan tanggungjawab Kementerian Pengangkutan. "Penggunaan dron semakin meluas dan perlu ada kementerian yang kawalselia".

Nur Jazlan turut menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan penerbangan kapal terbang apabila penggunaan dron menganggu lalu lintas udara yang akan menjejaskan keselamatan.

Sumber: Harian Metro