Penggunaan Ciri Sekatan Iklan Di Telefon Pintar Semakin Meningkat

Sepanjang tahun 2019 yang lalu, penggunaan ciri penyekat iklan di telefon pintar semakin meningkat sepertimana yang dilaporkan oleh Blockthrough.

Menurut firm pengiklanan tersebut, sekatan iklan pada peranti mudah alih telah mencecah 527 juta. Ia merupakan peningkatan sebanyak 64% berbanding tahun 2016 yang hanya merekodkan 309 juta penggunaan.



Kajian bertajuk "2020 Adblock Report" itu menyatakan peningkatan tersebut disebabkan oleh pertambahan pengguna peranti mudah alih. Bagi sekatan iklan pada platform komputer pula, ia dilihat telah menurun kerana pengguna di Amerika Utara, Eropah dan China kurang melayari internet menerusinya.

Angka yang dikutip melalui laporan menunjukkan 236 juta pengguna menggunakan ciri sekatan iklan di komputer. Sebagai perbandingan, tiga tahun sebelumnya iaitu 2016 penggunaan lebih tinggi iaitu 282 juta pengguna.

Antara perisian sekatan yang menyumbang kepada jumlah tertinggi adalah UC Browser dan Opera. Masing-masing diramal memiliki 403 juta dan 123 juta orang pengguna setakat Disember 2019 yang lalu. Sementara itu, pelayar Brave pula memperlihatkan 10.4 juta pengguna dengan peningkatan lebih pantas di AS dan Eropah.

Sumber: Blockthrough via Cnet