Pengguna Twitter Mahu Fungsi "Edit" Bukan "Stories"

Rata-rata daripada pengguna Twitter sedia menantikan media sosial terbabit menawarkan fungsi suntingan pada ciapan yang dibuat. Namun sehingga kini, fungsi yang diinginkan itu tidak juga kunjung tiba.

Terbaru, Twitter dilaporkan sedang menguji fungsi seakan Stories dipanggil sebagai Fleet. Sama seperti Stories di Instagram dan Facebook, perkongsian dibuat akan hilang dalam tempoh masa 24 jam. Ujian Fleet dikatakan sedang dijalankan di Brazil buat masa sekarang.

Lanjutan daripada itu, tanda pagar #RIPTwitter membanjiri platform berkenaan. Kebanyakan ciapan pengguna menyatakan mereka mahukan fungsi suntingan dan bukannya Stories.







Terdahulu, ditanyakan adakah Twitter akan menambah butang suntingan, CEO syarikat menyatakan mereka tidak akan menawarkan fungsi tersebut. Alasannya adalah mereka bermula sebagai perkhidmatan pesanan teks SMS dan ingin mengekalkan konsep tersebut. Ini bermakna setiap hantaran yang dibuat tidak boleh diubah semula.