Pengguna Twitter Kini Boleh Membuat Ciapan Audio

Bermula hari ini, Twitter mula membuat ujian bagi fungsi baharu yang membolehkan ciapan suara dilakukan. Setiap ciapan suara boleh merekodkan audio sehingga 140 saat atau 2 minit 20 saat.



Jika ciapan suara tersebut telah melebihi had maksimum yang ditetapkan, ciapan suara baru akan disambungkan secara automatik yang seterusnya menghasilkan bebenang dengan maksimum 25 ciapan.

Setiap ciapan suara juga mempunyai pilihan untuk menambah teks sebelum menekan butang hantar. Twitter menyatakan, fungsi ini hanya boleh dilakukan melalui ciapan asal dan tidak tersedia bagi ciapan balas atau ciapan semula dengan komen.

voice tweet

Buat masa ini, fungsi ciapan suara hanya akan tersedia dalam kumpulan yang terhad untuk pengguna iOS. Semua pengguna Twitter bagi iOS dijangka akan menerima fungsi ini dalam beberapa minggu lagi.

Dalam pada itu, Twitter tidak menyatakan dengan lebih lanjut jika fungsi ini akan dibawa ke peranti Android.

Sumber: Twitter