Pengguna Saman Apple Kerana "Dipaksa" Mendapatkan Pengecas iPhone Baharu

Apple sering dikaitkan dengan dakwaan memaksa pengguna untuk mendapatkan peranti mereka yang lebih terkini dengan cara menghentikan sokongan kepada peranti lama.

Terbaru, seorang pengguna iPhone 7 dari California, Monica Emerson telah menfailkan saman kepada syarikat tersebut kerana mendakwa terpaksa mendapatkan alat pengecas baharu untuk mengecas peranti miliknya.

Ia terjadi apabila beliau ingin mengecas peranti iPhone-nya, namun peranti tersebut memberitahu bahawa tidak lagi menyokong sambungan pengecas rasmi Apple yang dimiliki beliau.

Kapsyen: The Technician


Pemberitahuan tersebut dibuat melalui notifikasi yang muncul pada skrin iPhone milik Monica. Menurutnya, ribuan lagi pengguna iPhone mengalami masalah sama sehingga mereka terpaksa mendapatkan alat pengecasan baharu.

Sehubungan dengan itu, Monica menfailkan saman berjumlah $5 Juta(~RM20.44 juta) kepada Apple kerana beliau berasa telah ditipu oleh syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, menurut laporan MacRumors, tidak dapat dipastikan sama ada Monica menggunakan kabel Lightning asli mahupun yang diiktiraf Apple ataupun tidak.

Ini kerana sekiranya peralatan yang digunakan tidak diiktiraf Apple atau program MFi, berkemungkinan besar masalah itu berpunca daripada peralatan itu sendiri dan bukannya peranti iPhone.

Jika Apple benar-benar bersalah dalam hal ini, ia akan menjadi satu tamparan hebat bagi jenama terkemuka yang berpangkalan di Cupertino, California itu.

 

Sumber: MacRumors